Oleh Abdul Rahim Sabri
Festival Turath Islami Selangor (FTIS) 2025 sekali lagi membuktikan bahawa warisan keilmuan Islam terus subur dalam jiwa masyarakat, merentas usia, latar belakang dan bangsa.
Berlangsung selama sembilan hari bermula 12 Julai di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, festival ini bukan sekadar medan pengajian tetapi menjadi titik temu antara tradisi dan semangat pembaharuan.
Penganjurannya juga menjadi mercu tanda kesungguhan Selangor memartabatkan warisan keilmuan Islam serta menjadi pusat rujukan ilmu turath di rantau ini.
Ia juga memperlihatkan komitmen jitu dalam mengangkat peranan ulama, mendekatkan masyarakat kepada kitab-kitab muktabar serta memupuk minat generasi muda terhadap khazanah ilmu yang diwarisi sejak berzaman.
Ketiadaan tokoh utama Prof Dr Ali Jum’ah Muhammad Abdul Wahab bukan satu kekurangan. Sebaliknya FTIS terus bersinar dengan kehadiran barisan ulama tersohor yang mengisi ruang ilmu dengan penuh wibawa.
Mantan mufti besar Mesir itu yang pernah memeriahkan edisi 2023 dan 2024 tidak dapat turut serta kali ini atas faktor kesihatan.
Namun beliau menitipkan kerinduannya terhadap festival ini menerusi rakaman video khas yang dipaparkan kepada pengunjung.
Seramai 18 tokoh agama termasuk lima ulama tersohor berkongsi ilmu dalam 20 sesi daurah yang menghimpunkan ribuan peserta dari dalam dan luar negara termasuk pelajar pondok dan maahad tahfiz.
Dua karya agung Imam as-Suyuti, Tafsir al-Jalalain dan Pengantar Ilmu Tafsir menjadi nadi utama perbahasan ilmu.
Lima ilmuwan Islam terkemuka iaitu Prof Emeritus Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari (Mesir), Prof Dr Idris al-Kharshafi (Maghribi), Dr Mohammad Akram an-Nadwi (India/UK), Dr Majd Makki (Syria/Qatar) dan Dr Adi Hidayat (Indonesia) dijemput mengupas tujuh surah pilihan.

Pengarah Sekretariat FTIS, Al-Mustaqeem M Radhi mengakui sambutan kali ini amat menggalakkan dan menerima maklum balas positif daripada peserta.
“Setiap ulama ada keunikan. Rata-rata peserta berpuas hati dapat menadah kitab depan ulama besar daripada pelbagai negara,” katanya.
Kemuncak festival menyaksikan kira-kira 10,000 hadirin mendengar syarahan perdana disampaikan Dr Adi Hidayat, pengasas Institut Quantum Akhyar pada 18 Julai.
Syarahan beliau bertajuk ‘Pedoman mendidik anak ke arah menghargai warisan keilmuan Islam’.
FTIS turut diserikan dengan Pameran Al-Wahyu: Funduq yang menyingkap sejarah institusi pondok dan pesantren di Asia Tenggara.
Sebanyak 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun dari Pondok Pesantren Langitan, Surabaya, Indonesia dipamerkan.

Pameran sejak 5 Julai di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor itu dan menjadi antara tarikan utama pengunjung yang ingin menelusuri akar warisan keilmuan tradisi Nusantara.
Satu lagi inisiatif baharu FTIS tahun ini ialah Festival Buku Islami dan Bazaar Turath di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam. Menampilkan 30 penerbit, pelbagai buku ilmiah dijual dengan harga istimewa, merangsang minat membaca dalam kalangan generasi muda.
Tidak ketinggalan, Bazaar Turath yang berlangsung sepanjang festival memikat pengunjung dengan pelbagai produk warisan Islam, menjadikannya ruang interaksi budaya yang segar dan berinspirasi.
Selari dengan pendekatan menyeluruh, FTIS turut menyelitkan sesi bacaan kitab Dalail al-Khairat, bual bicara turath dan dua konsert kerohanian, Darul Ehsan Berselawat serta Alunan Mahabbah.
Program ini menjadi bukti bagaimana seni dan kerohanian Islam mampu menyatukan masyarakat merentas sempadan kaum dan agama.



