ad
AGENDA

Basikal bukan sekadar sukan tetapi alat perubahan sosial

26 Jul 2025, 2:00 AM
Basikal bukan sekadar sukan tetapi alat perubahan sosial
Basikal bukan sekadar sukan tetapi alat perubahan sosial
Basikal bukan sekadar sukan tetapi alat perubahan sosial

Oleh AIDA NYAN

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Basikal bukan sekadar alat riadah atau mainan kanak-kanak, sebaliknya memiliki potensi besar sebagai pemangkin perubahan sosial, kata aktivis berbasikal, Akmal Azfar Abd Mutalib.

Menerusi dua inisiatif utamanya The Park Tool School - Learn One Teach One dan Rebuilt to Ride, pengasas The Basikal itu menggerakkan usaha mendidik pelajar membaiki basikal serta membantu golongan kurang mampu memiliki kenderaan mobiliti sendiri.

"Basikal bukan sekadar mainan. Ia bukan hanya untuk berseronok, tetapi juga satu alat yang berfungsi," katanya ketika ditemu bual Media Selangor di premisnya di Publika, di sini, 17 Julai lalu.

Tambahnya, masyarakat masih memandang rendah kepada basikal kerana terperangkap dalam mentaliti lapuk yang mengaitkan penggunaan basikal dengan kemiskinan atau gaya hidup daif.

"Awak ni daif sangat ke sampai tak mampu beli motor?" kongsi Akmal mengimbau ayat yang pernah dilontar kepadanya apabila dia memilih untuk berbasikal ke tempat kerja.

[caption id="attachment_589969" align="alignnone" width="773"] Antara aksi peserta dalam kejohanan basikal lasak Cabaran XCO AU2 Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada 24 Jun 2023. Foto MPAJ[/caption]

Akmal turut melahirkan kebimbangan apabila ramai ibu bapa kini lebih selesa membelikan motosikal kepada anak berbanding basikal atas alasan keselamatan, sedangkan motosikal jauh lebih berisiko.

"Basikal boleh selesaikan pelbagai masalah sosial. Tapi dengan persepsi negatif, ibu bapa daripada bagi anak kayuh basikal, kononnya basikal ni berbahaya, mereka beri 'killing machine' iaitu motosikal kepada anak-anak," katanya lagi.

Beliau turut menekankan keperluan pendidikan berbasikal bermula dari peringkat sekolah melalui program seperti berbasikal ke sekolah bagi mendidik generasi muda menjadikan basikal sebagai alternatif pengangkutan harian.

Mengulas isu basikal lajak yang sering dikaitkan dengan gejala sosial, Akmal berpandangan pendekatan komuniti perlu lebih inklusif dan tidak terus menghukum minat anak muda.

"Kami buat program Rebuild2Ride untuk dekati kanak-kanak ni. Kami beri mereka basikal yang lebih baik dan latih mereka. Saat mereka memilih untuk keluar rumah daripada bermain telefon adalah sesuatu yang baik.

"Komuniti tempatan jangan sibuk tayang basikal paling mahal. Keluar dan dekati kanak-kanak itu. Bagi mereka pilihan," katanya.

[caption id="attachment_564495" align="alignnone" width="773"] Peserta Endurance Challenge berbasikal ketika program Selamat Pagi Subang Jaya @ Hari Tanpa Kenderaan di Jalan Kemajuan Subang, Subang Jaya pada 5 Februari 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

Sebagai bekas Timbalan Pengerusi Persatuan Pengguna Basikal Malaysia, Akmal yang mendapat latihan berbasikal dari dalam dan luar negara mahu memperkasa budaya berbasikal sejak usia muda.

Melalui The Park Tool School, pelajar diberi pendedahan tentang kemahiran membaiki basikal, manakala Rebuilt to Ride pula menyasarkan penyerahan basikal baik pulih kepada keluarga berpendapatan rendah.

"Kita perlu perkasa persatuan berbasikal dan kita semua kena berada di bawah satu payung untuk sama-sama bergerak ke arah Malaysia mesra basikal. Ini bukan kerja seorang dua, ini kerja 10, 20 tahun. Tapi kita kena mula sekarang," ujarnya.

Akmal percaya bahawa perubahan besar boleh bermula dengan satu kayuhan jika semua pihak bersama-sama menyokong usaha ke arah mobiliti hijau, komuniti sihat dan Malaysia yang lebih lestari.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.