ad
AGENDA

Pejabat MB Selangor kecam laporan akhbar himpunan turun Anwar

25 Jul 2025, 3:11 PM
Pejabat MB Selangor kecam laporan akhbar himpunan turun Anwar

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pejabat Dato’ Menteri Besar mengecam tindakan Utusan Malaysia yang menyiarkan laporan bertajuk “Penjawat awam Selangor boleh hadir Himpunan Turun Anwar” petang tadi, yang disifatkan tidak benar dan berunsur fitnah.

Setiausaha akhbar Dato’ Menteri Besar berkata tajuk berkenaan tidak menggambarkan kenyataan sebenar yang dibuat oleh Dato’ Seri Amirudin Shari dan memberikan gambaran salah kepada penjawat awam di negeri ini.

“Tajuk tersebut adalah tidak benar sama sekali dan menunjukkan sikap pihak pengurusan Utusan Malaysia yang berniat jahat ingin menyebarkan fitnah serta memberikan gambaran silap kepada pasukan penjawat awam Selangor,” kata Jay Jay Denis dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, Dato’ Menteri Besar tidak pernah menyebut atau membenarkan penjawat awam Selangor menyertai mana-mana perhimpunan seperti dilaporkan.

Sebaliknya, Amirudin menegaskan bahawa penjawat awam perlu sentiasa menjaga etika, tidak melanggar batas dan kekal profesional selaras dalam piagam perkhidmatan awam.

Jay Jay turut menzahirkan rasa kesal terhadap tindakan Utusan Malaysia yang disifatkan mengabaikan peranan dan tanggungjawab media sebagai ‘the fourth estate’.

“Budaya profesionalisme yang seharusnya dipegang oleh warga media telah diabaikan oleh Utusan Malaysia. Ini memberikan gambaran bahawa mereka sanggup menggadaikan maruah dan profesionalisme semata-mata digunakan dalam percaturan politik pihak tertentu,” ujarnya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.