ad
AGENDA

JAS lakukan 4,184 rondaan, 645 penerbangan dron pantau pembakaran terbuka

25 Jul 2025, 2:49 PM
JAS lakukan 4,184 rondaan, 645 penerbangan dron pantau pembakaran terbuka
JAS lakukan 4,184 rondaan, 645 penerbangan dron pantau pembakaran terbuka

PUTRAJAYA, 25 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) melakukan 4,184 rondaan darat dan 645 penerbangan dron bagi memantau aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyumbang kepada jerebu sejak awal tahun hingga semalam.

Ketua Pengarah Alam Sekitar Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata bagi tempoh sama, JAS mengeluarkan 58 Notis Arahan, 27 tindakan mahkamah dan mengenakan 59 kompaun ke atas pihak yang didapati melakukan kesalahan berkaitan pembakaran terbuka.

“JAS meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlakunya aktiviti pembakaran terbuka serta memantau bacaan IPU (Indeks Pencemaran Udara) dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan bagi menyelaras tindakan agensi kerajaan dalam menangani isu pembakaran terbuka dan menghadapi situasi jerebu negara.

[caption id="attachment_712320" align="aligncenter" width="1116"] Rakaman dron di lokasi pembakaran terbuka sampah haram di Dengkil, Selangor pada 24 Julai 2025. Foto Facebook Jabatan Alam Sekitar[/caption]

“Semua pemilik tanah dinasihatkan memantau secara rapi kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

“Mereka juga perlu mengambil langkah untuk mencegah pencerobohan oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja,” katanya.

Sementara itu, Wan Abdul Latiff berkata IPU yang direkodkan di laman sesawang JAS pada 3 petang ini menunjukkan lima kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik manakala 61 kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana.

“Dua kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat pada hari ini iaitu Kuching, Sarawak dan Johan Setia, Selangor.

“Kemerosotan kualiti udara di kedua-dua kawasan terlibat masih dipengaruhi jerebu rentas sempadan dan tiada kebakaran besar berlaku yang boleh menyebabkan jerebu setempat,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.