ad
AGENSI

KDEBWM ganti lori baharu atasi isu kutipan sisa di MPKj

25 Jul 2025, 11:30 AM
KDEBWM ganti lori baharu atasi isu kutipan sisa di MPKj

SHAH ALAM, 25 JULAI: KDEB Waste Management (KDEBWM) akan menggantikan lori baharu sebagai usaha menambah baik perkhidmatan kutipan sisa di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ).

Pengarah Urusannya, Dato’ Ramli Mohd Tahir berkata antara punca utama kelewatan kutipan adalah kegagalan beberapa lori beroperasi dengan baik selain penggunaan tong 'Roll On Roll Off' (RoRo) yang tidak lagi sesuai digunakan.

“Apa yang berlaku di MPKj ialah kebanyakan lori sedia ada mengalami kerosakan termasuk tayar dan enjin, menyebabkan ia tidak dapat masuk ke kawasan tertentu.

“Kita cuba guna lori ganti, namun ia masih belum mencukupi. Jadi, KDEBWM akan ganti lori baharu mulai September bagi selesaikan isu ini,” katanya dalam temu bual bersama Media Selangor.

Menurutnya, setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) mempunyai perjanjian perkhidmatan bersama KDEBWM dan prestasi akan dinilai setiap bulan. Jika gagal beri perkhidmatan baik, pihaknya akan diberi notis peringatan dan dikenakan penalti.

Beliau turut memaklumkan kontrak perkhidmatan antara KDEBWM dan MPKj yang dimeterai sejak tujuh tahun lalu akan tamat pada Ogos ini.

Semalam, KDEBWM dilaporkan didenda RM35,000 atas mutu perkhidmatan tidak memuaskan di kawasan MPKj.

Yang Dipertua MPKj, Nazli Md Taib berkata faktor utama kelemahan ialah tong RoRo yang rosak serta lori kompaktor yang tidak dapat beroperasi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.