Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 25 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) melancarkan 12 produk makanan sejuk beku jenama Ehsan sebagai usaha memperkukuh rantaian bekalan makanan dan meningkatkan hasil negeri.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata, inisiatif itu turut merangkumi enam produk minyak masak termasuk minyak bunga matahari dan marjerin.
“Ini merupakan satu lagi pencapaian penting dalam memastikan sumbangan berterusan PKPS terhadap pembangunan industri makanan dan pertanian di Selangor.
“Kita lancarkan 12 produk sejuk beku seperti Popia Carbonara, Popia Sayur, Samosa Ayam, Karipap Ayam, Roti Paratha dan Roti Boom,” katanya.
[caption id="attachment_712272" align="aligncenter" width="1065"] EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berucap ketika majlis Peluncuran Produk Sejuk Beku Jenama Ehsan di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Tambah beliau, minyak bunga matahari berkualiti tinggi yang dihasilkan akan dieksport ke Australia dalam tempoh dua minggu, menerusi kerjasama dengan syarikat Ego U19, melibatkan dua kontena atau sekitar 30 tan.
“Minyak ini sangat sesuai untuk pasaran eksport. Walaupun agak premium, ia tetap ditawarkan secara terhad untuk pasaran tempatan.
"Kita mulakan dengan Australia dan akan teliti potensi pasaran lain memandangkan saingan minyak sayuran di luar sangat kompetitif,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Peluncuran Produk Sejuk Beku Jenama Ehsan di wisma PKPS di sini hari ini.
Menurut beliau, usaha itu merupakan sebahagian daripada agenda komersial PKPS untuk memperkukuh penglibatan negeri dalam sektor makanan dan pertanian strategik.
"Kerajaan Negeri menyasarkan lebih banyak produk PKPS tembusi pasaran luar, seiring hasrat memperluas ekonomi pertanian yang mampan dan menjamin keterjaminan makanan negara.
“Kita akan lihat keseluruhan rantaian bekalan makanan dari guna tanah, benih, baka, pengeluaran hingga pemasaran dan peranan PKPS sebagai pelaksana utama, dengan sokongan peruntukan dari negeri dan persekutuan,” katanya.
[caption id="attachment_712273" align="aligncenter" width="1455"] Produk sejuk beku jenama Ehsan di Bangunan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Shah Alam pada 25 Julai 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]