SHAH ALAM, 25 JULAI: Operasi pembenihan awan (OPA) hanya akan dilaksanakan jika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi 150 secara berterusan lebih 24 jam, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia).
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, garis panduan ini ditetapkan dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK), yang turut mengambil kira beberapa syarat atmosfera lain sebelum sebarang operasi diluluskan, lapor Berita Harian.
"Pelaksanaan OPA turut bergantung kepada analisis kesesuaian atmosfera termasuk kehadiran awan konvektif, kelembapan udara tinggi serta keadaan angin pada paras ketinggian tertentu," katanya.
Sehubungan itu, katanya, setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan OPA kerana bacaan IPU di kawasan terjejas belum mencapai paras yang memerlukan tindakan tersebut.
Mengulas fenomena hujan yang berlaku sejak dua hari lalu, beliau menjelaskan ia adalah kejadian semula jadi hasil pembentukan awan hujan di kawasan Selat Melaka, sebelum bergerak ke beberapa negeri termasuk Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Hujan tersebut membantu mengurangkan tahap jerebu dan menurunkan bacaan IPU di lokasi yang sebelum ini mencatatkan kualiti udara tidak sihat,” katanya.
Tambah beliau, METMalaysia belum menjalankan sebarang operasi pembenihan awan sepanjang tahun 2025 setakat ini.
Untuk rekod, OPA adalah antara kaedah mitigasi jerebu yang diperuntukkan dalam PTJK dan dilaksanakan secara bersasar sekiranya pencemaran udara melebihi paras bahaya.
Ia hanya diaktifkan apabila semua syarat teknikal dan tahap IPU dipenuhi bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan dan efisien.