ad
BERITA UTAMA

EXCO: Portal SEJAGAT mudahkan rakyat akses pusat jagaan di Selangor

25 Jul 2025, 4:52 AM
EXCO: Portal SEJAGAT mudahkan rakyat akses pusat jagaan di Selangor

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kerajaan Negeri bakal memiliki portal pemetaan pusat jagaan kanak-kanak dan warga emas bagi memudahkan orang ramai membuat pilihan bersesuaian untuk menempatkan ahli keluarga masing-masing.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata portal SEJAGAT yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) itu turut membantu pemain industri membuka pusat jagaan di kawasan yang mendapat permintaan tinggi sekali gus menggalakkan lagi ekonomi negeri.

“Portal ini boleh diakses maklumat lengkap dan memberi pengetahuan dan informasi kepada orang ramai berhubung khidmat penjagaan seperti pusat warga emas, tadika, taska, pusat kesihatan.

“Contohnya kalau seorang anak mahu cari pusat jagaan untuk ibu ataupun ayah yang strok, dia boleh lihat peta di kawasannya.

“Ia juga akan tunjukkan lokasi berpotensi dan terima banyak permintaan. Jadi pengusaha boleh membangunkan operasi di situ dan membuka peluang perniagaan,” kata Anfaal Saari.

Beliau ditemui media selepas menghadiri program townhall ‘Sembang Sangai Dasar Sampai’ disertai wakil pihak berkuasa tempatan dan pejabat tanah dan daerah di sini hari ini.

Selain itu, Anfaal berkata portal berkenaan juga akan dilengkapi dengan info bantuan ditawar pentadbiran seperti geran bagi menggalakkan lebih banyak pusat berdaftar.

“Kita mahu maklumat bantuan ditawarkan sampai kepada mereka dan sekiranya JKM luluskan, ia akan dibentang dalam SEJAGAT. Jadi ramai akan terima manfaat,” katanya.

Beliau berkata portal yang berada dalam fasa satu itu akan dipromosikan pada Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) yang berlangusng di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Oktober ini.

“Ketika ini hanya pihak tertentu boleh akses portal ini termasuk pemegang taruh. PBT juga boleh lihat untuk beri nilai tambah dan pastikan lebih banyak manfaat diberi kepada pengguna nanti,” katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.