SUBANG JAYA, 25 JULAI: Anugerah Industri Pelancongan (TIA2025) akan dianjurkan Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA) dengan kerjasama Tourism Selangor pada 9 Ogos depan.
Pengerusi Penganjur TIA2025 Datuk Emmy Suraya Hussein berkata sebanyak 90 kategori dipertandingkan pada acara yang akan dihadiri 1,100 penggiat industri di Hotel Sunway Resort.
“MiTDA kerjasama dengan Tourism Selangor anjurkan TIA buat kali kedua bagi merancakkan lagi kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025) dan persediaan menghadapi Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026).
“Sebanyak 150 pencalonan diterima, daripada jumlah ini 20 dari Selangor. Antara kategori utama yang dipertandingkan adalah bidang hotel, pemandu pelancong, produk operator, pusat membeli-belah dan pusat konvensyen,” katanya dalam sidang media semalam.
[caption id="attachment_712177" align="alignnone" width="878"] Pengerusi Penganjur Anugerah Industri Pelancongan 2025 (TIA2025) Datuk Emmy Suraya Hussein (lima, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling (lima, kanan) bergambar bersama rakan strategik selepas sidang media Anugerah Industri Pelancongan 2025 di Hotel Sunway Resort pada 24 Julai 2025. Foto Tourism Selangor[/caption]
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling berkata anugerah itu merupakan simbol pengiktirafan kepada pemain industri yang memberikan sumbangan membangunkan pelancongan negara.
“Tourism Selangor berharap anugerah menjadi semangat dan motivasi bagi meneruskan momentum pemain industri berusaha merancakkan kempen TMM 2026.
“Penganjuran acara merupakan satu perjalanan yang sangat positif memandangkan selepas pandemik Covid-19 dan kita nampak industri pelancongan berkembang semula,” ujarnya.