SHAH ALAM, 24 JULAI: Selangor komited membangunkan industri aeroangkasa menerusi pertemuan dengan pengeluar pesawat mesra alam, Deutsche Aerospace di Pameran Udara Antarabangsa Paris 2025 (IPAS2025), baru-baru ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan bersama syarikat itu membuka ruang baharu kepada Selangor menyertai rantaian bekalan sektor aeroangkasa, sekali gus memperkukuh kedudukan negeri dalam peta teknologi dunia.
“Potensi penyertaan Selangor dalam projek pesawat hijau seperti Do328Eco bukan setakat peluang ekonomi, tetapi langkah penting ke arah industri yang lebih mampan dan bertanggungjawab.
“Teknologinya juga amat sesuai untuk penggunaan di kawasan susah dicapai, di mana ianya boleh berangkat serta mendarat di kawasan terpencil dan tidak memerlukan landasan yang panjang,” katanya menerusi Facebook.
Tambah Amirudin, usaha Selangor membangunkan industri aeroangkasa bukan semata-mata demi pelaburan ekonomi negeri tetapi khusus buat golongan belia mengembangkan bakat dalam bidang kejuruteraan dan teknologi.
Jelasnya, Kerajaan Negeri turut membayangkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi serta anjakan besar kepada industri tempatan sekiranya pelaburan bersama syarikat pengeluar pesawat dari Jerman itu berjaya dimeterai.
“Selangor sedang melangkah ke hadapan bukan sebagai penumpang, tetapi sebagai pemain utama dalam industri masa depan Asean,” katanya.
Bulan lalu, sebanyak 11 pemain industri aeroangkasa tempatan menyertai IPAS2025 sebagai pempamer di Pavilion Malaysia, dengan lima daripadanya merupakan syarikat dari Selangor.
Selangor sebagai penyumbang utama sektor aeroangkasa menyertai delegasi negara ke IPAS2025 bagi menyempurnakan pelancaran Taman Aero Selangor (SAP) di peringkat antarabangsa.
SAP yang juga merupakan sebahagian daripada Pelan Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia 2030, dijangka memacu sasaran nasional tahunan RM55.2 bilion dan mewujudkan lebih 32,000 pekerjaan menjelang 2030.