ad
AGENDA

Dera anak guna kulit durian: Suami dipenjara 5 tahun, isteri didenda RM18,000

24 Jul 2025, 12:37 PM
Dera anak guna kulit durian: Suami dipenjara 5 tahun, isteri didenda RM18,000

KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun manakala isterinya didenda RM18,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku mendera anak perempuan mereka yang berusia tujuh tahun 11 bulan menggunakan kulit durian, minggu lepas.

Hakim Mohd Zaki Mohd Salleh juga memerintahkan Bunyamin Sukiman, 42, menjalani hukuman penjara dari tarikh tangkap iaitu pada 18 Julai manakala Yorlini Abdullah Umar, 32, akan dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun tanpa cagaran serta menjalankan khidmat masyarakat selama 12 bulan.

Mengikut pertuduhan, Yorlini, yang merupakan ibu kandung mangsa, dan Bunyamin, bapa tiri kanak-kanak tersebut, didakwa mendera mangsa sehingga menyebabkan kecederaan pada bahagian badan di kediaman mereka di Jalan Ampang di sini pada 6 petang 16 Julai lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan fakta kes, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid di sekolah mangsa memanggil kanak-kanak itu berhubung aduan kononnya dia memotong tudung pelajar lain.

Siasatan oleh pihak sekolah mendapati mangsa tidak terlibat dengan insiden itu sebaliknya mendedahkan dia telah dipukul dan telinganya dipulas oleh ibu serta bapa tirinya selain ditumbuk oleh lelaki tersebut.

Mangsa turut memberitahu tangannya diletakkan di atas lantai sebelum kulit durian dijatuhkan ke atas tangannya, dan tangan yang terluka itu kemudian direndam ke dalam air garam suam selain diikat menggunakan pita pelekat serta dibiarkan hingga keesokan harinya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ravindejit Kaur memohon hukuman berat dikenakan terhadap kedua-dua tertuduh kerana mangsa adalah kanak-kanak yang sepatutnya dilindungi, bukan tempat untuk melepaskan geram.

“Perbuatan mengambil kulit durian serta menghempapnya ke tangan mangsa kemudian merendam tangan yang luka ke dalam air garam suam adalah tindakan yang ekstrem dan amat zalim... Ibu bapa sepatutnya menjadi pelindung kepada anak-anak,” katanya.

Peguam Simret Singh pula memohon hukuman ringan atas alasan Yorlini tidak bekerja dan hanya bergantung kepada Bunyamin yang menjadi penasihat jualan kenderaan serta penyumbang nafkah tunggal keluarga.

“Kedua-dua tertuduh mempunyai dua anak termasuk mangsa serta telah ditahan reman selama tujuh hari dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis... sepanjang tahanan reman, kedua-dua tertuduh insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu,” katanya.

-- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.