ad
AGENSI

124 mangsa ribut Kg Melayu Subang terima bantuan tunai Yayasan MBI

24 Jul 2025, 12:00 PM
124 mangsa ribut Kg Melayu Subang terima bantuan tunai Yayasan MBI
124 mangsa ribut Kg Melayu Subang terima bantuan tunai Yayasan MBI
124 mangsa ribut Kg Melayu Subang terima bantuan tunai Yayasan MBI

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seramai 124 mangsa insiden ribut yang melanda Kampung Melayu Subang menerima sumbangan tunai daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor memaklumkan, sebanyak RM62,000 diperuntukkan bagi tujuan itu dengan setiap penerima menerima bantuan sebanyak RM500.

“Kita menerima permohonan daripada Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara, YB Izuan Kasim bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Melayu Subang bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa terlibat.

[caption id="attachment_712134" align="aligncenter" width="683"] Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Muhammad Izwan Ahmad Kasim (tengah) di iringi Ketua yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor (dua kiri) menyampaikan sumbangan kepada penerima pada Majlis Serahan sumbangan kepada mangsa bencana ribut di Kampung Melayu Subang pada 24 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD
DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Alhamdulillah, permohonan tersebut telah diluluskan dan diharap sumbangan ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban keluarga yang terkesan,” katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan itu di Surau Nurrur Rahman, Dataran Pasar Tani Kampung Melayu Subang.

Sementara itu, salah seorang penerima, Marniza Othman, 41, berkongsi pengalaman cemas ketika kejadian apabila bunyi kuat menyebabkan bumbung rumahnya roboh secara tiba-tiba.

“Sekitar jam 4 petang, saya sedang menidurkan anak sebelum terdengar bunyi seakan guruh. Kami panik dan apabila melihat ke luar, kelihatan pusaran angin yang kuat disertai hujan lebat.

“Rumah saya mungkin tidak seteruk jiran yang lain, namun kesannya tetap dirasai. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas bantuan ini kerana ia sangat dinantikan oleh penduduk yang terjejas,” katanya.

Bagi Mohd Fuaad Ramli, 55, beliau sekeluarga tiada di rumah semasa kejadian dan hanya dimaklumkan oleh jiran sebelum bergegas pulang.

“Saya terkejut melihat kemusnahan harta benda. Bumbung diterbangkan ribut dan perabot basah akibat hujan. Anggaran kerugian mencecah RM10,000.

“Saya telah menetap di sini hampir lapan tahun dan ini merupakan kejadian ribut paling teruk pernah dialami. Bantuan yang diterima hari ini sedikit sebanyak membantu menampung keperluan mendesak rumah,” katanya.

[caption id="attachment_712132" align="aligncenter" width="697"] Marniza Othman, 41 pada Majlis Serahan sumbangan kepada mangsa bencana ribut di Kampung Melayu Subang pada 24 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Seorang lagi penduduk, Mohd Sallih Bustamam, 49, mengakui beliau dan keluarga masih trauma setiap kali hujan turun sejak kejadian tersebut.

“Sejak kecil saya membesar di Kampung Melayu Subang dan tidak pernah mengalami kejadian seperti ini. Diharap ia tidak berulang.

“Saya berterima kasih kepada MBI dan Kerajaan Negeri atas bantuan yang dihulurkan. Walaupun jumlahnya tidak sepadan dengan kerugian, ia tetap memberi sedikit kelegaan,” ujarnya.

Pada 6 April lalu, ribut kuat melanda Kampung Melayu Subang sekitar jam 4 petang, menyebabkan puluhan rumah dan kenderaan rosak. Penduduk segera menghubungi pihak berkuasa bagi mendapatkan bantuan kecemasan selepas menyaksikan banyak pokok tumbang dan bumbung rumah diterbangkan angin.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.