KUALA LUMPUR, 24 JULAI: Polis menahan bapa saudara kanak-kanak lelaki berusia setahun tujuh bulan yang maut akibat digigit anjing di Kampung Orang Asli Sungai Buloh, semalam.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Supt Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata suspek berusia 19 tahun yang merupakan Orang Asli suku Temuan itu ditahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 pada 11.50 pagi, hari ini.
“Hasil bedah siasat yang telah dijalankan oleh doktor di Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh mendapati punca kematian adalah 'neck injury due to canine mauling' ataupun serangan serta gigitan anjing yang ganas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan sekiranya mempunyai maklumat mengenai kejadian itu, boleh hadir ke mana-mana balai polis berdekatan atau menghubungi Hotline Balai Polis Sungai Buloh di talian 03-61561222 atau menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Aizad Abd Azik di talian 0134861194.
Semalam, Mohd Hafiz dilaporkan berkata laporan mengenai kejadian pada 8.40 pagi itu diterima daripada seorang pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh.
Beliau berkata kanak-kanak itu dibawa ke zon kecemasan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan diberikan bantuan pernafasan (CPR) namun tidak memberikan tindak balas. Mangsa disahkan meninggal dunia pada 9.14 pagi.
“Mangsa dibawa ke hospital oleh ibu bapanya iaitu pasangan Orang Asli berusia 31 dan 29 tahun dari Kampung Orang Asli Jalan Hospital,” katanya.
- BERNAMA