SHAH ALAM, 24 JULAI: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah menghantar notis merah kepada 80 penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara susulan kegagalan menjelaskan tunggakan sewa yang berlarutan.
Ahli Dewan Negeri Kota Damansara, Izuan Kasim berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada proses pemutihan bertujuan memastikan hanya mereka yang benar-benar layak terus menetap di perumahan tersebut.
“Saya dimaklumkan LPHS telah menghantar notis merah kepada 80 penduduk sebagai peringatan untuk menjelaskan tunggakan dan mengemukakan semakan semula status kelayakan mereka.
“Terdapat penyewa yang telah berpindah namun menyewakan unit kepada pihak lain, selain kes penerima bantuan sewa rumah daripada Lembaga Zakat Selangor tetapi masih gagal melunaskan bayaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan Yayasan MBI kepada mangsa ribut di Surau Nurrur Rahman, Dataran Pasar Tani Kampung Melayu Subang hari ini.
Menurut Izuan, pihak LPHS sebelum ini telah beberapa kali mengeluarkan notis peringatan dan menjalankan tindakan pemotongan bekalan air ke unit-unit terlibat.
“Namun ada antara mereka yang menyambung bekalan air dari unit jiran. Justeru, saya menyeru agar tunggakan diselesaikan segera kerana masih ramai yang layak dan memenuhi syarat untuk menyewa di PPR ini,” jelasnya.
Ketika sesi penggulungan Sidang Dewan Negeri baru-baru ini, Izuan meminta LPHS menyemak semula tunggakan sewa mencecah RM3.24 juta di PPR kawasan DUN Kota Damansara.
Katanya, sebanyak 117 perjanjian sewa PPR didapati tidak ditandatangani penyewa sekali gus memerlukan perhatian yang serius daripada agensi tersebut.