OLEH NUR AZYYATI OMAR
SHAH ALAM, 24 JULAI: Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 (Selangor Children’s Book Festival – SCBF) membuka tirainya hari ini di Kompleks PKNS Shah Alam, menghimpunkan lebih 130 reruai dalam usaha memupuk kecintaan terhadap buku dalam kalangan kanak-kanak.
Program anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dengan sokongan Kerajaan Negeri Selangor ini berlangsung selama empat hari, dari 24 hingga 27 Julai.
Menurut Pengarah PPAS, Datin Paduka Mastura Muhamad, SCBF kali ini menampilkan kelainan dengan pelbagai zon interaktif termasuk laluan ilustrator, bilik aktiviti, zon pasir, dan sudut melukis yang direka khusus bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan.
[caption id="attachment_712129" align="alignleft" width="376"] Datin Paduka Mastura Muhamad, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Alam Selangor (PPAS) hadir bagi memeriahkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor (SCBF) 2025 yang berlangsung di Kompleks PKNS, Seksyen 14, Shah Alam pada 24 Julai 2025. FOTO: NAIM ABU BAKAR / Media Selangor[/caption]
“Objektif utama pesta buku ini adalah untuk membina kegembiraan dalam kalangan kanak-kanak melalui aktiviti yang menyeronokkan serta membantu mereka membina impian seawal usia,” katanya kepada Media Selangor.
Beliau turut menggalakkan pengunjung yang berada di Kompleks PKNS untuk mengambil peluang menyertai pelbagai aktiviti disediakan.
“Sebagaimana diketahui, PKNS merupakan lokasi tumpuan kerana kemudahan yang pelbagai. Kita berharap pengunjung yang lalu-lalang dapat turut serta dalam pesta buku ini,” jelasnya.
Dalam masa sama, Datin Mastura menekankan peranan ibu bapa dalam membudayakan pembacaan dan menghadkan kebergantungan kepada peranti digital dalam kalangan anak-anak.
“Jangan hanya beri gajet untuk mendiamkan mereka, sebaliknya berikan buku yang boleh merangsang perkembangan otak,” ujarnya.
Pesta ini turut menawarkan peluang kepada pengunjung untuk memenangi hadiah cabutan bertuah, termasuk hadiah utama bernilai RM500 dengan perbelanjaan minimum RM30.
Menariknya, penganjuran kali ini turut menerima kunjungan ahli jawatankuasa Beijing International Book Fair yang berkongsi pengalaman berkaitan pembangunan literasi di peringkat global.
Antara pengisian lain termasuk penyertaan dalam Yusuf Gajah Award, kelas ilustrasi, sesi bercerita, serta aktiviti bermanfaat seperti menjahit, permainan tradisional dan ceramah berkaitan pendidikan serta geopolitik.
Majlis perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025 akan disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 25 Julai, jam 3 petang.