SHAH ALAM, 24 JULAI: Selepas pengumuman bantuan tunai RM100 secara sekali bayar di bawah Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada warganegara dewasa bermula 31 Ogos, ramai bertanya apa sebenarnya SARA.
Berikut info yang anda perlu tahu tentang SARA.
Apa itu SARA?
SARA ialah bantuan tunai yang dikreditkan terus ke dalam MyKad penerima dan hanya boleh digunakan untuk membeli barangan asas di kedai yang mengambil bahagian.
Premis yang terlibat:
Sebanyak lebih 4,100 premis terlibat, termasuk pasar raya besar seperti Giant, Mydin dan HeroMarket serta kedai runcit tempatan berdaftar di seluruh negara.
Apa yang membezakan SARA ialah ia khusus untuk pembelian barangan keperluan harian, meliputi 14 kategori seperti beras, minyak masak, sabun, lampin pakai buang, ubat asas dan alat tulis.
Secara keseluruhan, bantuan ini boleh digunakan untuk lebih 90,000 barangan tersenarai, memberi fleksibiliti kepada pengguna memilih mengikut keperluan keluarga.
Cara penggunaan:
Bantuan ini bukan berbentuk tunai fizikal, sebaliknya sistem ‘cashless’ yang membolehkan rakyat membuat pembelian terus di kaunter hanya dengan menunjukkan MyKad.
Tambahan pula, baki bantuan tidak akan luput dalam masa terdekat, sebaliknya boleh digunakan sehingga 31 Disember 2025 dengan memberi ruang kepada perbelanjaan lebih terancang.
Memandangkan ia diberikan kepada individu, bukan isi rumah, sebuah keluarga yang terdiri daripada empat dewasa layak menerima keseluruhan RM400 dalam bentuk bantuan tunai digital.
Kerajaan menyasarkan bantuan ini mampu meringankan tekanan kos sara hidup, selain menggalakkan perbelanjaan berhemah dalam kalangan rakyat.