SHAH ALAM, 24 JULAI: Bantuan RM100 kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas diumumkan Perdana Menteri semalam, disifatkan selari dengan semangat kemerdekaan dan usaha kerajaan memperkukuh kebajikan rakyat.
EXCO Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu berkata sagu hati diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, disifatkan simbolik menyuntik semangat patriotisme terutama dalam kalangan anak muda, sekali gus meringankan beban kewangan rakyat.
“Bantuan RM100, mungkin ada orang persoal kenapa RM100. Bagi saya ia adalah sagu hati (terutama) kepada anak muda, (simbolik) untuk kita rayakan Hari Kebangsaan kita. Juga tambahan cuti (untuk Hari Malaysia),” katanya kepada Media Selangor.
Selain itu, katanya tambahan kekerapan program Jualan Rahmah Madani yang akan diperluas ke 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh negara membantu golongan B40 mendapatkan barangan asas pada harga rendah.
“Jualan Rahmah, membantu golongan B40 ataupun keluarga yang tidak begitu berpendapatan tinggi. Bantuan itu boleh menyelamatkan keluarga-keluarga yang miskin untuk menampung pembelian barangan runcit dan sebagainya,” katanya.
Berhubung penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99, katanya ia menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat secara menyeluruh.
“Saya rasa di rantau ini, kitalah negara yang paling murah penjualan petrol. Sebab itu dulu ada penyeludupan diesel dan sebagainya. Pengumuman ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat,” katanya.
Semalam Anwar mengumumkan beberapa inisiatif termasuk pemberian tunai sekali bayar sebanyak RM100, cuti umum seluruh negara pada 15 September ini serta penurunan harga petrol RON95.
Bantuan RM100 berkenaan akan dikreditkan terus ke dalam MyKad dan boleh digunakan di lebih 4,100 premis runcit yang mengambil bahagian dijangka memanfaatkan 22 juta rakyat melibatkan peruntukan RM2 bilion.
Selain itu kerajaan juga akan menambah kekerapan Jualan Rahmah Madani dengan peruntukan tahun ini ditingkatkan sekali ganda lagi menjadi RM600 juta kesemua 600 dewan undangan negeri, selain memperbanyak jenis barangan untuk memberi pilihan yang lebih meluas kepada rakyat.
Susulan 10 lebuh raya dijadual untuk kenaikan kadar tol tahun ini sepertimana perjanjian, kerajaan bersetuju menangguh kenaikan itu supaya rakyat terus menikmati kadar tol yang sama dengan kos ditanggung lebih RM500 juta.