ad
AGENDA

PKS perlu dianggap rakan strategik, bantu manfaatkan platform digital

24 Jul 2025, 5:33 AM
PKS perlu dianggap rakan strategik, bantu manfaatkan platform digital

SHAH ALAM, 24 JULAI: Usahawan Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu dilihat sebagai rakan strategik bagi membantu mereka berkembang serta bersaing dalam perniagaan bukannya sekadar tempat untuk menjual.

Pengarah Institut Dasar Kecemerlangan Wawasan (Wawasan) Tarmizi Anuwar berkata peniaga tempatan kini berdepan persaingan hebat justeru tumpuan harus diberikan untuk membangunkan mereka melalui platform digital.

“Daripada memberi tumpuan semata-mata kepada perdebatan mengenai struktur harga, Wawasan percaya perhatian harus diberikan kepada bagaimana platform digital memperkasakan PKS Malaysia.

“Ia melalui penyediaan akses kepada latihan, analitik berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) pandangan prestasi serta sistem penghantaran dan transaksi yang diyakini,” maklumnya menerusi kenyataan.

Beliau menambah pembangunan PKS tempatan perlu menjadi sebahagian strategi nasional seiring langkah kerajaan membawa agenda MyDigital.

“Ini bukan sekadar pasar raya dalam talian, ia adalah rakan infrastruktur digital yang membantu usahawan berkembang secara mampan.

“Apabila platform menyediakan alat, infrastruktur dan pandangan untuk mencapai matlamat ini, ia bukan sahaja menguntungkan penjual, tetapi keseluruhan ekonomi,” ujarnya lagi.

Pada 2020, Kerajaan Selangor memperkenalkan Platform Selangor (PLATS) yang dilaksanakan di bazar Ramadan digital pertama di Malaysia bagi membantu penjaja kecil yang terjejas pendapatan susulan penularan wabak Covid-19.

Inisiatif itu diperluas setahun kemudian bagi membantu peniaga sepanjang masa, tidak terhad ketika bulan puasa sahaja dan diteruskan sehingga kini dengan kerjasama agensi berkaitan.

PLATS bertujuan melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor dan setahun kemudian, PLATS 2.0 dilancar bagi membantu peniaga menjana pendapatan sepanjang masa.

Platform maya siri 3.0 itu diteruskan pada April 2022 melibatkan kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Rakan Digital Selangor (RDS).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.