SHAH ALAM, 24 JULAI: Penubuhan Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) bagi melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini bakal memperkukuh ekosistem celik kewangan yang diusahakan Selangor.
EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata apabila semua bentuk pinjaman direkodkan dan diawasi, ia akan memupuk disiplin kewangan dan kesedaran risiko dalam kalangan pengguna muda, terutamanya.
“Ia secara langsung menyokong program pendidikan kewangan, bimbingan keusahawanan dan pemerkasaan belia yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.
“Dalam konteks Selangor, saya anggap ia sangat relevan. Ramai anak muda kini terdedah kepada pinjaman yang mudah diperoleh tetapi tidak telus, yang akhirnya membebankan mereka dengan komitmen kewangan jangka panjang.
“Dengan adanya peraturan lebih ketat, kita dapat mencegah mereka daripada menjadi mangsa hutang berlebihan, terutama bagi pelajar, pekerja gig dan usahawan muda,” katanya kepada Media Selangor.
Isnin lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Kredit Pengguna (RUUKP) 2025 bagi melindungi kepentingan pengguna kredit di negara ini.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata penggubalan RUU itu bertujuan menangani kelompongan kawal selia dalam sektor yang menyasarkan pengguna kredit rentan dan mudah dieksploitasi.
RUUKP turut bertujuan menyeragamkan rangka kerja kawal selia kredit pengguna yang kini berbeza mengikut sektor.
Melaluinya, SKP bakal ditubuhkan sebagai badan utama mengawal selia perniagaan kredit yang kini beroperasi tanpa lesen atau pemantauan khusus.
Tambah Najwan, SKP dilihat sebagai satu perkembangan yang sangat positif, khususnya dalam melindungi golongan belia daripada terjerat dengan hutang yang tidak terkawal.
“Kita tahu hari ini banyak bentuk kredit yang ditawarkan di luar sistem perbankan seperti skim 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian' (BNPL), pajak gadai moden dan pelbagai bentuk pinjaman digital yang sebelum ini tidak diselia secara menyeluruh.
“SKP bukan sahaja sebagai badan pemantau, tetapi juga menyatukan pelbagai entiti pemberi kredit bukan bank di bawah satu kerangka kawal selia yang lebih telus dan berstruktur,” katanya.
Beliau percaya, SKP bukan sekadar membina struktur kawal selia yang baharu, tetapi ia membina masa depan kewangan yang lebih sihat dan selamat untuk generasi muda.