SHAH ALAM, 23 JULAI: Pengumuman beberapa inisiatif meringankan kos sara hidup yang diumumkan Perdana Menteri membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap rakyat.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kerajaan menyedari rintihan rakyat terutamanya dalam kos sara hidup, yang diterjemahkan menerusi pengumuman bantuan kepada semua lapisan masyarakat.
“Dengan peningkatan gaji kepada penjawat awam, bermakna kita juga tidak tambah kos harga tol sebagaimana yang dijadualkan dalam konsesi.
“Saya rasa itu usaha kerajaan untuk beri lebihan wang kepada rakyat dan wang itu akan dibelanjakan dalam kehidupan seharian mereka yang secara tidak langsung membantu usahawan kecil dan sederhana,” katanya.
Amirudin ditemui media selepas menyempurnakan program BizMatch Mega PKNS 2025 Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini.
Hadir sama EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas.
Amirudin turut menyifatkan bantuan tunai RM100 kepada semua pemegang MyKad berumur 18 tahun ke atas sebagai pemberian yang dapat dimanfaatkan khususnya kepada ekonomi semasa.
Meskipun nilainya dianggap kecil, Amirudin menjelaskan jumlah itu sudah cukup dijadikan sebagai intervensi untuk meningkatkan lantai dan siling ekonomi.
“Bagi saya kita berada dalam landasan yang tepat untuk menggerakkan ekonomi secara menyeluruh dengan kestabilan politik yang kita ada,” katanya.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata pemberian sempena Hari Kebangsaan itu adalah ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.