SHAH ALAM, 23 JULAI: Usahawan di Selangor digesa merebut peluang perniagaan menerusi transisi pemulihan ekonomi yang sedang rancak berlaku di negeri ini, kata Dato’ Menteri Besar.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedudukan Selangor sebagai antara penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) memberi impak menyeluruh, khususnya peluang perniagaan dan pekerjaan baharu.
“Kita dalam proses transisi pemulihan yang rancak. Tahun lepas kita merekodkan nilai pelaburan tertinggi dalam sejarah. Ia seharusnya memberi impak keseluruhan kepada rakyat.
“Di sini saya rasa usahawan perlu segera gabungkan nilai kemampuan supaya bukan hanya sekadar menjadi usahawan kecil-kecilan. Kita mahu usahawan ini menjadi pembekal lebih besar kepada sektor sedia ada,” katanya.
Beliau berucap menyempurnakan program BizMatch Mega PKNS 2025 Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Seksyen 7 di sini, hari ini. Hadir sama EXCO Keusahawanan Najwan Halimi dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Dato’ Mahmud Abbas.
Pada majlis sama, Amirudin turut melancarkan Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2025 yang dijadual berlangsung pada 28 hingga 30 November depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata PKNS memiliki lebih 10,000 alumni usahawan yang dibantu menerusi pelbagai program pembangunan dan pemerkasaan selain akses sokongan pembiayaan, bimbingan serta peluang pasaran.
“Kalau rujuk kepada aktiviti usahawan yang berterusan, PKNS merupakan antara agensi yang mampu bertahan melaksanakan inisiatif-inisiatif (keusahawanan) ini.
“Kita konsisten, terus berjalan, dan transformasi selepas ini adalah transformasi digital dan bagaimana mereka boleh beradaptasi dengan perubahan semasa,” katanya.
[caption id="attachment_711970" align="alignnone" width="704"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Program BizMatch Mega PKNS 2025: Himpunan Usahawan Selangor di Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam pada 23 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]