SHAH ALAM, 23 JUL: Kebakaran hutan di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu sejak semalam memusnahkan kawasan seluas 56 ekar setakat ini, maklum penolong pengarah operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.
Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.34 petang semalam, namun operasi pemadaman hanya dapat dimulakan hari ini berikutan faktor keselamatan dan ketiadaan punca air.
[caption id="attachment_711951" align="aligncenter" width="815"] Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar. Foto BERNAMA[/caption]
“Setibanya di lokasi sejauh 22 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu pada jam 7.12 malam semalam, komander operasi maklumkan kebakaran melibatkan kawasan hutan pada anggaran lapan ekar.
“Namun kerja pemadaman tidak dapat dilakukan kerana tiada laluan masuk. Bagaimanapun pada jam 10 malam, pasukan sudah menemui jalan dan menganggarkan kebakaran libatkan hutan seluas 56 ekar.
“Sekarang kerja pemadaman sedang giat dan menunggu unit udara untuk bantu pemadaman. Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia juga sedang digerakkan ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
[caption id="attachment_711950" align="aligncenter" width="808"] Anggota Bomba dan Penyelamat giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan di Jalan Genting, Kuala Kubu Bharu pada 23 Julai 2025. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor[/caption]
Sebelum ini, kebakaran hutan turut berlaku di Jalan KP 1/3, Kajang Prima pada 19 Julai lalu, membabitkan kawasan seluas 1.2 hektar. Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu.
Satu lagi kebakaran belukar turut dikesan berhampiran kawasan Bukit Jalil, namun tindakan pantas anggota bomba berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan sekeliling.
Kelmarin, Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad memaklumkan sebanyak 7,223 kes kebakaran dicatat di seluruh negara dari 1 Januari hingga 20 Julai. Kes melibatkan kawasan kebun, hutan, belukar serta tapak pelupusan sampah.
Sementara itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan cuaca lembap berterusan di utara Asia Tenggara menyumbang kepada tahap aktiviti titik panas yang kekal rendah.
Namun, keadaan kering yang dijangka berlarutan di selatan Asia Tenggara dalam beberapa hari akan datang berpotensi meningkatkan titik panas dan risiko jerebu rentas sempadan.
Susulan itu, Ketua Pengarah JAS Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata rondaan serta pemantauan fizikal dipertingkatkan di kawasan berisiko tinggi termasuk kawasan pertanian, tanah gambut, semak samun, ladang terbiar dan tapak pelupusan sampah.