Oleh Muhammad Rey Hazriell
KLANG, 23 JULAI: Pemeriksaan keselamatan menyeluruh termasuk menilai semula sistem elektrik dan saluran gas perubatan sedang dijalankan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) memaklumkan langkah segera itu diambil susulan kebakaran kecil yang dianggar melibatkan satu peratus kawasan fizikal di zon merah petang semalam.
"Kejadian berlaku sekitar jam 5.05 petang dan berjaya dikawal sepenuhnya dalam masa singkat oleh petugas hospital, sebelum pasukan bomba tiba bagi penilaian lanjut.
“Sebagai langkah keselamatan, satu pemeriksaan terperinci sedang dijalankan terhadap keseluruhan sistem elektrik, suis keselamatan dan saluran gas bagi memastikan ia berada dalam keadaan selamat,” jelas JKNS.
Seramai 126 pesakit dan 62 kakitangan berada di unit tersebut ketika kejadian, namun tiada kecederaan dilaporkan dan semua pesakit telah dipindahkan dengan selamat ke lokasi lain dalam hospital.
JKNS memaklumkan bahawa tiada gangguan kepada perkhidmatan kesihatan dan operasi rawatan diteruskan seperti biasa selepas proses pemindahan selesai.
Zon yang terjejas telah dikosongkan sepenuhnya dan langkah keselamatan diambil dengan menghadkan akses ke zon terlibat.
JKNS turut memberi jaminan bahawa semua aspek keselamatan di hospital itu akan terus dipertingkatkan dan disemak semula secara berkala.
“Keselamatan pesakit, pelawat dan kakitangan adalah keutamaan kami dan sebarang risiko akan ditangani secara serius dan menyeluruh,” kata JKNS.
Setakat ini, kawasan terlibat hanya mengalami kerosakan fizikal kecil dan tidak menjejaskan fungsi utama hospital.