SHAH ALAM, 23 JULAI: Kerajaan meningkatkan peruntukan pengajuran program Jualan Rahmah MADANI 2025 kepada RM600 juta, berbanding RM300 juta pada tahun lalu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah ini bertujuan memperluas capaian penganjuran program ke seluruh negara termasuk menambah kekerapan di semua 600 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Maka, peruntukan awal RM300 juta akan ditambah RM300 juta lagi dan peruntukan ini memastikan kekerapan dan perluasan lokasi ke setiap DUN 600.
"Jualan Rahmah akan diadakan di setiap DUN sebelum akhir tahun ini," katanya dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga menteri kewangan memberitahu kerajaan akan terus menumpukan kepada usaha yang memberi manfaat langsung kepada rakyat di peringkat komuniti.
“Malahan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) yang bakal dibentangkan juga mengambil kiri keutamaan semua negeri tanpa mengira fahaman politik,” katanya lagi.