ad
AGENDA

PM: Semua rakyat umur 18 tahun ke atas terima RM100

23 Jul 2025, 3:04 AM
PM: Semua rakyat umur 18 tahun ke atas terima RM100

SHAH ALAM, 23 JULAI: Semua rakyat berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima bantuan RM100 secara one-off melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 22 juta rakyat dan melibatkan peruntukan keseluruhan RM2 bilion.

Beliau yang juga menteri kewangan memaklumkan bantuan itu akan dikreditkan terus ke MyKad dan boleh digunakan untuk pembelian barangan keperluan asas mulai 31 Ogos 2025 sehingga 31 Disember 2025.

"Bantuan ini boleh dibelanjakan bagi membeli barangan asas di lebih 4,100 kedai termasuk pasar raya utama seperti Mydin, Lotus, Econsave dan 99Speedmart serta kedai-kedai runcit di semua daerah seluruh negara.

"Bantuan ini diberikan secara individu dan bukannya isi rumah. Maknanya, sebuah isi rumah umpamanya suami, isteri dan dua orang anak dewasa akan dapat RM400," katanya dalam pengumuman penghargaan untuk rakyat, hari ini.

Menurut Anwar lagi, seiring dengan pengumuman ini jumlah peruntukan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.

"Mungkin ada dalam kalangan kita yang punyai kemampuan dan tidak memerlukan bantuan ini.

“Kerajaan berhasrat supaya jumlah bantuan yang tidak dibelanjakan menjelang akhir tahun diagihkan semula untuk program bantuan golongan rentan tahun hadapan,” katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.