Oleh Nur Azyyati Omar
SHAH ALAM, 23 JULAI: Sebahagian Bas Smart Selangor akan digunakan untuk membawa atlet dan pegawai Sukan Malaysia (SUKMA) yang dijadual berlangsung pada Ogos tahun depan.
Dato' Menteri Besar berkata Selangor mesti bersiap sedia dari segi pengangkutan untuk temasya yang dijangka menghimpunkan sekitar 10,000 atlet dan pegawai dari 15 negeri, termasuk kontinjen jemputan Brunei.
"Akan ada kegunaan khas sebahagian Bas Smart Selangor sepanjang SUKMA berlangsung. Kita akan siapkan sebahagian daripada bas ini khusus untuk para atlet dan pegawai supaya tidak mengganggu trafik.
"Kita mahu pastikan kejohanan dwitahunan ini berjalan lancar dan sempurna termasuk aspek pengangkutan," kata Dato' Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan di sini, semalam.
Beliau berkata aspek kelancaran trafik akan diselaraskan dengan kerjasama polis, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jawatankuasa Tetap Mobiliti Negeri.
"Pada masa sama, Majlis Sukan Negara (MSN) akan memantau pembangunan lokasi pertandingan manakala PBT bertanggungjawab terhadap jalan masuk, fasiliti awam seperti tandas, serta senarai penginapan untuk pengunjung dan atlet.
"PBT juga perlu memastikan ada senarai tempat tinggal untuk bakal pengunjung dan atlet yang akan tiba," katanya.
Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 akan diadakan pada 15 hingga 24 Ogos, dengan acara pembukaan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mesyuarat jawatankuasa pengelola kejohanan juga memutuskan Para SUKMA diadakan dari 5 hingga 14 September.