SHAH ALAM, 22 JULAI : Pengusaha, penyelidik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pusat penjagaan diseru menyertai Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) pada 9 hingga 11 Oktober ini.
EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata sebanyak 60 reruai disediakan pada acara sidang kemuncak yang julung kali dianjurkan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
“Sebanyak 60 reruai kita wujudkan dan kita masih mencari pempamer daripada ahli akademik berkaitan kajian ekonomi penjagaan atau daripada industri teknologi dan perkhidmatan, pusat latihan atau NGO.
“Menerusi ekspo penjagaan nanti kita mahu ketengahkan padanan perniagaan antara pengunjung dan pempamer. Kita sasar sekitar 30 lagi penyertaan untuk mengisi ruang reruai pelbagai saiz,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Hi-tea Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) bersama 120 rakan strategik dan prospek perniagaan di Hotel Saujana, di sini hari ini.
Mengulas berhubung harga reruai, Anfaal berkata ia ditawarkan bermula daripada RM4,000 hingga RM45,000 mengikut kategori dan saiz yang berbeza.
Program julung kali itu akan dilaksana bersekali dengan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS), menggabungkan pelbagai komponen seperti forum, persidangan, padanan perniagaan dan sesi libat urus.
Orang ramai yang berminat untuk menyertai SICS sebagai pempamer atau peserta boleh melayari laman sesawang selangorcaresummit.com.