SHAH ALAM, 22 JUL: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menafikan inisiatif MyKiosk sebagai projek 'gajah putih' dan menuntut pihak terbabit tampil membuat permohonan maaf.
Menterinya Nga Kor Ming berkata kadar pengisian MyKiosk kekal tinggi apabila sebanyak 91.75 peratus unit MyKiosk@KPKT pada 2023 telah diisi, manakala MyKiosk 2.0 pada 2024 pula mencatat kadar pengisian 86.78 peratus.
[caption id="attachment_570659" align="aligncenter" width="812"] Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika sesi penggulungan belanjawan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15 di Parlimen pada 8 Mac 2023. Foto BERNAMA[/caption]
“Bagi 2023, peruntukan MyKiosk@KPKT sebanyak RM50 juta telah dimanfaatkan untuk penyediaan 3,189 unit kiosk. Manakala pada 2024, sebanyak RM100 juta disediakan untuk MyKiosk 2.0 dengan pembinaan 4,054 unit kiosk baharu.
“MyKiosk 2.0 telah diubah suai spesifikasi reka bentuknya agar lebih lestari alam dan dilengkapi kemudahan yang lebih baik tanpa sebarang kenaikan harga sewaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Onn Abu Bakar (HARAPAN–Batu Pahat) berkenaan pelaksanaan program MyKiosk 2.0.
Kor Ming turut menjelaskan bahawa kenyataan dikeluarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini, yang mengesahkan tiada unsur salah laku dalam projek berkenaan, membuktikan komitmen KPKT dalam melaksanakan dasar kerajaan secara telus dan berintegriti.
“Saya menuntut bagi pihak warga KPKT yang bekerja bertungkus lumus membantu rakyat, mereka yang buat tohmahan, fitnah sila mohon maaf kerana kita rasa penjawat awam yang bekerja, pengorbanan mereka wajib dihargai bukan lemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas,” katanya lagi.
Di Selangor, sebanyak 1,028 unit MyKiosk telah dipasang di seluruh negeri melibatkan peruntukan berjumlah RM20.33 juta.
Awal bulan ini, EXCO Kerajaan Tempatan Dato’ Ng Suee Lim mengarahkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan pemeriksaan bagi memastikan penempatan MyKiosk dilakukan secara teratur dan tidak mengganggu persekitaran.
Menurutnya, langkah itu bagi menangani isu melibatkan kiosk yang tidak disewa, terletak di lokasi tidak sesuai atau berisiko dari segi keselamatan.