SHAH ALAM, 22 JULAI: Pengurangan subsidi telur secara berfasa yang akan tamat 31 Julai ini dijangka membantu penjimatan RM45 juta sebulan kepada negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bekalan telur ayam pada masa ini berada pada tahap stabil dan dijual dengan harga berpatutan.
"Bagi Julai, anggaran pengeluaran telur ayam adalah 1.75 bilion biji sebulan, manakala keperluan penggunaan domestik dianggarkan 1.06 bilion.
“Ini menunjukkan terdapat lebihan pengeluaran 0.69 bilion, yang sebahagiannya akan digunakan untuk pasaran eksport," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) berhubung pengurangan perbelanjaan subsidi dan impaknya terhadap pasaran telur.
[caption id="attachment_681593" align="alignleft" width="500"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui media ketika Lawatan Projek Tanaman Bawang Rose Ehsan PKPS di Selangor Fruit Valley, Rawang pada 11 Januari 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mohamad berkata pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan terus melaksanakan pemantauan rapi bagi memastikan bekalan dan harga telur kekal stabil.
Jelasnya, pengurangan dan penamatan subsidi telur ayam dijangka tidak menjejaskan kestabilan bekalan telur ayam berikutan industri itu menunjukkan trend positif termasuk penurunan makanan ayam.
"Penyasaran semula subsidi dan penamatan kawalan harga telur membolehkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan dan menyalurkan semula subsidi kepada program yang memberi manfaat kepada rakyat.
"Kadar inflasi tahunan bagi telur ayam mencatatkan penurunan -5.3 peratus pada 2025, bagaimanapun ia tidak berlaku secara menyeluruh melintas semua gred telur," katanya.
April lalu kerajaan mengumumkan kadar subsidi telur ayam dikurangkan kepada lima sen daripada 10 sen bermula 1 Mei dan akan ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Ogos ini.
Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira komitmen pihak industri untuk memastikan pengeluaran telur ayam yang mencukupi dan terjamin berikutan kos pengeluaran sudah stabil.