SHAH ALAM, 22 JULAI: Pendirian tegas Malaysia dalam mempertahankan isu Asia Barat khususnya hak rakyat Palestin dikenal pasti antara punca negara menjadi sasaran ejen perisikan asing termasuk Mossad, kata Perdana Menteri.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata susulan ancaman itu, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil langkah tambahan bagi memperkukuh kawalan dan keupayaan keselamatan negara.
“Badan perisik antarabangsa termasuk Mossad itu memang dikenal pasti. (Ini) taklimat terbaru diberi badan perisikan Malaysia.
"Memang mereka ambil berat betul soal ini terutama setelah terbukti bukan saja kehadiran mereka tetapi menggunakan pasangan suami isteri Melayu sebagai sama ada ejen ataupun yang bekerjasama dengan Mossad," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN–Machang) berhubung jaminan keselamatan negara serta kehadiran ejen Mossad.
Menurut Anwar, kepakaran teknologi yang dimiliki Mossad membolehkan mereka bergerak pantas dan meninggalkan negara sebelum dapat dikesan pihak berkuasa, selain menggunakan khidmat warga tempatan.
“Paling akhir ialah kes di mana pasangan suami isteri Melayu dari Selangor yang terjadi bersekongkol dengan ejen dipercayai Mossad, menyeludup senjata dari Thailand dan kemudian ditangkap dan sekarang ini ditahan di penjara," katanya.
Difahamkan, pasangan itu juga disyaki terlibat dalam satu lagi kes pada tahun lalu, apabila polis menahan mereka kerana membekalkan senjata api kepada lelaki warga Israel yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Sementara itu, pada 2022, seorang warga Palestin berusia 31 tahun berjaya diselamatkan sehari selepas diculik sekumpulan rakyat tempatan yang dipercayai direkrut oleh Mossad bagi membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di negara ini.
Mangsa diselamatkan selepas polis menahan 18 individu, termasuk sepasang suami isteri, dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang dan Melaka.