ad
AGENDA

Pelan hadapi geopolitik Timur Tengah tumpuan Dewan Rakyat hari ini

22 Jul 2025, 12:45 AM
Pelan hadapi geopolitik Timur Tengah tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 22 JULAI: Pelan tindakan jangka pendek dan panjang kerajaan dalam menghadapi ketegangan geopolitik di Timur Tengah merupakan antara tumpuan pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat menerusi portal Parlimen, perkara berkenaan dibangkitkan Mohd Sany Hamzan (HARAPAN-Hulu Langat) kepada Perdana Menteri pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri, khususnya dalam memastikan kepentingan Malaysia terus terpelihara.

Pada sesi sama, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) pula meminta Perdana Menteri menyatakan bagaimana keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2002 mengenai kedaulatan Pulau Ligitan dan Sipadan dapat mempengaruhi penentuan sempadan maritim antara Malaysia dan Indonesia di kawasan Laut Sulawesi termasuk kedaulatan blok ND6 (Blok Y) dan ND7 (Blok Z).

Semasa sesi soal jawab pula, Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) memohon penjelasan daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu tarif Amerika Syarikat dengan keterlibatan kerajaan negeri.

Turut bertanyakan soalan ialah Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) yang meminta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan menjelaskan berkaitan hasil penjimatan menerusi pengurangan perbelanjaan subsidi dan impak terhadap pasaran telur di pasaran.

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang Racun (Pindaan) 2025, diikuti pembentangan bacaan kali kedua bagi Rang Undang-Undang Jalan, Parit dan Bangunan (Pindaan) 2025 dan Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat (Pindaan) 2025.

Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen Ke-15 dijadual berlangsung 24 hari dan antara yang menjadi tumpuan ialah pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 pada 31 Julai ini.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.