ad
AGENDA

KKM komited kerjasama dengan NGO cegah penyakit berjangkit

21 Jul 2025, 2:48 PM
KKM komited kerjasama dengan NGO cegah penyakit berjangkit

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) komited untuk bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha intervensi awal dan pencegahan penyakit berjangkit.

Menterinya berkata Sahabat merupakan rakan strategik penting Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKN) dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti turun padang yang menyasarkan populasi berisiko tinggi seperti penagih dadah dan gay.

Menurut Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, usaha tersebut memberi tumpuan kepada peningkatan kesedaran berkaitan jangkitan HIV, jangkitan kelamin (STI) dan Hepatitis C.

"Kerjasama itu penting dalam mendekati populasi berisiko tinggi bagi meningkatkan pengetahuan tentang strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal dan kebaikan mendapatkan rawatan awal dalam komplikasi serius.

"Pendidikan kesihatan adalah penting untuk meningkatkan literasi kesihatan dan melindungi kontak rapat seperti isteri dan anak-anak yang berisiko dijangkiti HIV.

"Kementerian kekal komited dengan pendekatan kesihatan awam yang mengutamakan pencegahan penyakit, intervensi awal dan akses kepada rawatan selaras dengan dasar kesihatan negara mengikut nilai keagamaan dan sensitiviti budaya," katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Polis Kelantan mengesahkan menyerbu satu program berkaitan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) melibatkan lebih 20 lelaki tempatan di sebuah rumah banglo di Jalan Kemumin di sini pada pertengahan Jun lepas.

Program tersebut didakwa sebagai sesi 'outreach' kesihatan, bagaimanapun JKN memaklumkan ia bukanlah anjuran Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Jembal atau Pejabat Kesihatan Negeri Kelantan.

Menurut Pengarah Kesihatannya, Datuk Dr Zaini Hussin, program tersebut dianjurkan oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah Majlis AIDS Malaysia (MAC).

Katanya, NGO tersebut berdaftar dan berada di bawah MAC manakala MAC pula adalah rakan strategik KKM.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.