ad
AGENDA

Ibu, anak cuba terjun jambatan diselamatkan orang awam, bomba

21 Jul 2025, 8:43 AM
Ibu, anak cuba terjun jambatan diselamatkan orang awam, bomba

KOTA BHARU, 21 JULAI: Seorang ibu bersama anak lelakinya berusia empat tahun dipercayai cuba terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini malam tadi sebelum berjaya diselamatkan orang awam.

Dalam kejadian 11.10 malam itu, tindakan pantas orang awam yang menyedari gelagat mencurigakan wanita terbabit membantu mengelakkan berlakunya tragedi sementara menanti ketibaan anggota bomba untuk memberi bantuan lanjut.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darul Naim Suhaimi Othman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan 11.20 malam dan segera menggerakkan sepasukan anggota ke lokasi.

Beliau berkata wanita berusia 35 tahun itu berada di bahagian tepi jambatan bersama anaknya dan dikerumuni orang awam yang cuba menenangkannya.

“Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit memujuk dan menenangkan mangsa. Siasatan awal mendapati wanita berkenaan menunggang motosikal jenis Honda Wave dari kediamannya di Panji bersama anak lelakinya sebelum berhenti di atas jambatan itu," katanya hari ini.

Suhaimi berkata mangsa memaklumkan dia mengalami masalah kewangan termasuk tunggakan bayaran sewa rumah dan hanya menggelengkan kepala apabila ditanya lebih lanjut.

Wanita terbabit bersama anaknya kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.