ad
AGENDA

Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan, tipu individu dapatkan darjah kebesaran Pahang

21 Jul 2025, 8:10 AM
Ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan, tipu individu dapatkan darjah kebesaran Pahang

KOTA KINABALU, 21 JUL: Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana dipercayai menipu seorang individu dengan meminta wang RM6,000 bagi mendapatkan darjah kebesaran negeri Pahang.

Suspek lelaki berusia 40-an itu ditahan kira-kira 12 tengah hari tadi ketika hadir di Pejabat SPRM Sabah di sini untuk memberikan keterangan.

Menurut sumber, berdasarkan siasatan awal suspek disyaki telah menawarkan untuk membantu pengadu mendapatkan gelaran Datuk dari negeri Pahang pada 2023, walaupun beliau tidak mempunyai kuasa atau keupayaan untuk berbuat demikian.

"Suspek dipercayai telah mendorong pengadu secara tidak jujur untuk memindahkan wang RM6,000, kononnya bagi pembelian aksesori baju istiadat yang diperlukan untuk mendapatkan darjah kebesaran tersebut," katanya.

Pengarah SPRM Sabah Datuk S Karunanithy mengesahkan penangkapan itu dan memaklumkan suspek telah dibebaskan dengan jaminan setelah membayar deposit tunai RM5,000 daripada jumlah jaminan RM10,000 yang dikenakan.

Beliau memaklumkan bahawa suspek akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis ini di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.