Oleh ALIFF HAIQAL MOHAMED
SHAH ALAM, 21 JULAI: Meskipun Malaysia berjaya melahirkan juara e-sukan di peringkat dunia, namun ekosistem sokongan seperti latihan teknikal, pasukan dan fasiliti dilihat masih belum kukuh.
Presiden Persatuan E-Sukan Selangor Abdul Razak Mohd Yusof berkata, tanpa ekosistem pembangunan yang tersusun, usaha membawa industri e-sukan ke tahap lebih profesional akan terbantut.
"Yang paling asas adalah tempat. Kita di Selangor pun memang perlukan tempat, tetapi alhamdulillah saya lihat Kerajaan Negeri ada usaha ke arah itu dengan membina kompleks sukan sendiri," katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Semasa bertajuk 'E-sukan: Potensi dan masa depan terbitan Media Selangor, baru-baru ini.
Selain kemudahan fizikal, beliau turut menekankan kepentingan infrastruktur digital khususnya akses Internet stabil di kawasan luar bandar yang kini menyaksikan peningkatan penyertaan dalam kalangan anak muda.
"E-sukan ini bukan saja orang bandar main, orang luar bandar pun dah mula main. Sekarang sembilan daerah di Selangor semua dah ada persatuan. Tapi saya sedih nak cakap, masih ada kawasan luar bandar yang hadapi masalah capaian,” katanya.
Akademi e-sukan ubah persepsi ibu bapa
Penubuhan akademi e-sukan dilihat sebagai kunci utama untuk mengubah tanggapan negatif masyarakat, khususnya ibu bapa, terhadap industri itu sebagai kerjaya masa depan.
Menurut Abdul Razak, skeptikal ibu bapa terhadap hala tuju anak-anak dalam bidang itu masih menjadi cabaran besar, justeru langkah menyediakan sistem latihan formal dan berstruktur sangat penting.
“Kita berlawan dengan ibu bapa yang beranggapan 'game' ini tak ada masa depan. Jadi waktu mula-mula tubuh persatuan dulu, perkara pertama kami buat ialah masuk bidang akademi. Bila ada akademi, barulah ibu bapa percaya e-sukan boleh jadi kerjaya,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar lebih banyak pusat latihan berasaskan pendidikan diwujudkan, termasuk tenaga pengajar, kemudahan arena dan laluan kerjaya supaya masyarakat melihat e-sukan sebagai industri berdaya maju.
Judi, kripto ancam imej e-sukan
Dalam masa sama, Abdul Razak turut menegaskan keperluan komuniti e-sukan membendung persepsi negatif yang kini timbul semula apabila industri itu dikaitkan dengan unsur perjudian dan mata wang kripto.
“Sekarang ini orang cakap e-sukan ni ada terkait pula dengan judi. Kalau dulu dikaitkan dengan keganasan, sekarang dah masuk isu kripto. Ini semua kita kena elak,” ujarnya.
Katanya, tanggapan sedemikian bukan sahaja menjejaskan usaha membawa e-sukan ke tahap arus perdana, malah boleh menghalang penglibatan bakat baharu disebabkan kebimbangan ibu bapa dan masyarakat.
“Kalau kita nak pergi ke arah sukan teras, tapi pemain dapat tentangan daripada ibu bapa kerana benda yang bukan-bukan ini, itu akan jadi penghalang. Jadi lebih baik kita bendung dahulu semua ni,” tegasnya.
[caption id="attachment_711561" align="aligncenter" width="1104"] Presiden Persatuan e-sport Selangor, Abdul Razak Mohd Yusof (kiri) bersama Pengulas e-sukan Astro Arena, Aiman Sekaiichi (kanan) ketika program Bicara Semasa di Media Selangor pada 3 Julai 2025. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]