ad
AGENDA

Pemimpin AS, Itali nyata komitmen hadir Sidang Kemuncak Asean Oktober ini

21 Jul 2025, 4:59 AM
Pemimpin AS, Itali nyata komitmen hadir Sidang Kemuncak Asean Oktober ini

PUTRAJAYA, 21 JULAI: Beberapa pemimpin dunia termasuk dari Asia, Eropah, Kanada, Amerika Syarikat, Afrika dan Amerika Latin dijangka menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata setakat ini antara yang menyatakan komitmen untuk hadir ialah pemimpin dari Itali, Kesatuan Eropah, Kanada dan Amerika Syarikat.

“Ia (Sidang Kemuncak Asean) akan jadi satu sidang antarabangsa yang besar buat Malaysia,” katanya.

Pada 8 Julai lalu, Anwar berkata beberapa ketua kerajaan dari luar Asean sudah mengesahkan kehadiran ke Sidang Kemuncak Asean ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang dijadual berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober ini.

Antara pemimpin yang mengesahkan kehadiran ialah Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni, yang ditemui Anwar di Rom pada 3 Julai lalu, Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa, yang kini memegang jawatan Presiden Kumpulan G20.

Sementara itu Anwar berkata lawatan beliau ke luar negara bukan sekadar untuk melancong, sealiknya atas kapasiti Malaysia sebagai Pengerusi Asean tahun ini, selain memenuhi undangan daripada beberapa pemimpin dunia.

“Saya antara perdana menteri yang paling banyak ke luar negara. Kebetulan Malaysia adalah Pengerusi Asean tahun ini,” katanya.

Menzahirkan keyakinan dengan perkhidmatan penjawat awam termasuk pasukan keselamatan negara berdasarkan prestasi cemerlang ditunjukkan ketika penganjuran Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Asan-China baru-baru ini, Anwar berkata beliau yakin Sidang Kemuncak Asean Oktober ini akan berlangsung dengan jayanya.

“Kalau tengok prestasi (perkhidmatan) penjawat awam, polis, Jabatan Imigresen dan petugas di lapangan terbang pada Asean-GCC dan Asean-China lepas, saya yakin dengan keupayaan kita dalam memberikan yang terbaik bagi negara kita,” katanya.

Beliau berkata keyakinan itu adalah berdasarkan kepada peningkatan kedudukan Malaysia dalam Laporan Daya Saing Dunia oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada tempat ke-23 pada 2025.

Perdana menteri berkata peningkatan kedudukan itu turut mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap keupayaan pentadbiran Malaysia, sekali gus memberi isyarat positif menjelang penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Sidang Kemuncak Asean ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur pada Mei lalu turut menampilkan Sidang Kemuncak Asean-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) kali kedua serta Sidang Kemuncak Asean–GCC–China yang diadakan buat pertama kali.

Malaysia sebagai Pengerusi Asean 2025 dengan tema 'Keterangkuman dan Kemampanan' menganjurkan Sidang Kemuncak Asean ke-46 dan mesyuarat berkaitan dari 22 hingga 27 Mei lalu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.