ad
SELANGOR

Konsert mahabbah jadi titik temu jiwa pelbagai kaum

21 Jul 2025, 2:30 AM
Konsert mahabbah jadi titik temu jiwa pelbagai kaum
Konsert mahabbah jadi titik temu jiwa pelbagai kaum
Konsert mahabbah jadi titik temu jiwa pelbagai kaum

SHAH ALAM, 21 JULAI: Konsert Alunan Mahabbah yang menutup tirai Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS 3.0) malam tadi menjadi bukti bagaimana seni dan kerohanian Islam mampu menyatukan masyarakat merentas sempadan kaum dan agama.

Diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, konsert itu bukan sahaja menarik perhatian ribuan pengunjung, malah turut dihadiri individu bukan beragama Islam seperti pempengaruh media sosial, Vijay Thirackumar, 32.

“Saya hadir kerana saya minat sangat dengan lagu-lagu ketuhanan dan kerohanian. Irama dan mesejnya betul-betul menyentuh hati saya.

“Saya tak rasa saya buat sesuatu yang salah walaupun kita berlainan agama dan bangsa, selagi kita hormat agama itu dan tahu sensitiviti perkauman apa salahnya, keluarga saya pun okay sahaja.

[caption id="attachment_711498" align="aligncenter" width="708"] Kumpulan Inteam pada Konsert Alunan Mahabbah sempena Festival Kesenian Islam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 20 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Saya berharap lebih banyak penganjuran konsert seperti ini. Apabila saya yang bukan Islam boleh hadir saya harap lebih ramai sahabat saya beragama Islam dapat hadir berikan sokongan,” katanya kepada Media Selangor.

Pernah tular dua tahun lalu kerana mendendangkan salah sebuah lagu nasyid kumpulan Rabbani, Vijay berkata susulan itu banyak rezeki diperolehnya sehingga beliau kini dikenali dan rapat dengan ramai ahli kumpulan nasyid tempatan sehingga dijemput sepentas bersama mereka.

Sementara itu, salah seorang pengunjung Muhammad Mazlan Jailani, 19, mengakui ternanti-nantikan Festival Turath Islami Selangor 3.0 (FTIS 3.0) selepas kali pertama beliau ikuti program itu, tahun lalu.

“Harap program ini diteruskan dan kekal dianjurkan di sini (Dataran Kemerdekaan Shah Alam) kerana lebih luas dan strategik,” katanya yang datang dari Sungai Buloh bersama tiga rakan.

Manakala, Siti Maisarah Abd Razak, 21, mengakui hampir setiap hari mengikuti program FTIS sejak di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah sehingga ke konsert malam tadi sebagai sokongan.

“Bagus Kerajaan Selangor anjurkan program seumpama ini kerana ia sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada kita terutama generasi muda yang beragama Islam ini yang kadang kala alpa dengan duniawi,” katanya.

[caption id="attachment_711500" align="aligncenter" width="704"] Kumpulan Raihan pada Konsert Alunan Mahabbah sempena Festival Kesenian Islam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 20 Julai 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

FTIS 3.0 bermula sejak 12 Julai hingga semalam menampilkan 18 tokoh agama dan ulama tersohor, yang menjalankan tiga sesi pengajian setiap hari bermula jam 9 pagi manakala sesi petang antara jam 4.45 petang hingga 8.45 malam.

Festival itu turut dimeriahkan dengan pameran sekurang-kurangnya 10 manuskrip kitab turath tulisan tangan berusia lebih 100 tahun di Kompleks Seni Islam Antarabangsa Selangor.

Selain Adi Hidayat, empat lagi tokoh ilmuwan Islam terkemuka iaitu Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari, Prof Dr Idris al-Kharshafi, Dr Mohammad Akram an-Nadwi dan Dr Majd Makki dijemput mengupas dua kitab tafsir agung karya Imam as-Suyuti.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.