KUALA LUMPUR, 21 JULAI: Sebanyak lapan lokasi di seluruh negara mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 9.17 pagi ini, dengan Alor Gajah, Melaka merekodkan bacaan tertinggi iaitu 160.
Menurut data terkini daripada Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (Apims) di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS), kawasan lain yang turut mencatat bacaan IPU tidak sihat termasuk:
Temerloh, Pahang – 156
Banting, Selangor – 155
Nilai, Negeri Sembilan – 155
Kemaman, Terengganu – 153
Johan Setia, Selangor – 152
Cheras, Kuala Lumpur – 151
Putrajaya – 124
Bacaan IPU antara 101 hingga 200 diklasifikasikan sebagai tidak sihat, manakala bacaan 51 hingga 100 berada pada tahap sederhana dan 0 hingga 50 adalah baik.
Setakat pagi ini juga, tiga kawasan direkodkan dalam kategori kualiti udara baik, manakala 57 lokasi lain berada pada tahap sederhana.
Orang ramai boleh menyemak bacaan IPU terkini secara langsung melalui laman web rasmi APIMS di https://apims.doe.gov.my.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan jerebu rentas sempadan didapati melanda beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia ketika ini.
Menurut Dr Mohd Hisham Mohd Anip, 79 titik panas di kawasan Sumatera berkemungkinan, menjadi punca kepada keadaan berjerebu itu yang dibawa oleh tiupan angin barat daya.