PETALING JAYA, 20 JULAI: Pusat Pengembangan Turath Nusantara Selangor (PETUNAS) adalah inisiatif negeri untuk mendokumentasikan kitab turath sekali gus menjadi hab penyelidikan ilmu Islam.
Pengetuanya Ahmad Faiz Mohd Khalil berkata PETUNAS yang dijadual beroperasi hujung bulan ini juga menjadi tempat himpunan ulama Nusantara selain tempat pengajian secara intensif serta melatih pendakwah untuk menyampaikan ajaran Islam dengan cara yang lebih segar.
"PETUNAS akan jadi pusat yang melatih para pendakwah bagaimana mengasimilasikan turath warisan Islam yang lama dengan isu-isu kontemporari supaya mereka mampu untuk menyampaikan ajaran Islam dengan segar.
[caption id="attachment_711388" align="alignleft" width="410"] Pengetua Pusat Pengembangan Turath Nusantara Selangor (PETUNAS) Ahmad Faiz Mohd Khalil. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Insya-Allah PETUNAS akan berkembang sebagai tempat menghimpunkan manuskrip Nusantara dari universiti terkemuka dan seterusnya menjadi pusat pengumpulan data,” katanya kepada Media Selangor.
Beliua ditemui selepas majlis perasmian PETUNAS oleh Pengarah Unit Perancangan Ekonomi (UPEN) Selangor Dato’ Johary Anuar di Petaling Jaya di sini, hari ini.
Ahmad Faiz menambah, pihaknya juga akan menubuhkan Maahad Turath Siddiqiah yang berperanan sebagai institusi pondok moden berteraskan manhaj Al-Azhar pada awal tahun depan.
“Melalui maahad, kita akan memilih 20 pelajar tahfiz seluruh negeri untuk dilatih dan mengikuti kukurikulum yang menghimpun kitab lama serta pengajian moden.
“Mereka juga akan mempelajari ilmu berkaitan fiqh dan tauhid yang dipanggil kitab kuning. Pada masa sama, mereka akan mempelajari sistem ekonomi serta politik Islam,” kongsinya.
Menurutnya lagi, penubuhan PETUNAS merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran Festival Turath Islami Selangor sejak 2023 dalam usaha menterjemah karya agung Ihya’ Ulumuddin oleh Imam al-Ghazali.
“Kelahiran pusat ini juga merupakan cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari yang mahu segala dapatan ulama dari Festival Turath didokumentasikan,” ujarnya.
[caption id="attachment_711390" align="alignnone" width="690"] Pusat Pengembangan Turath Nusantara Selangor (PETUNAS) di Petaling Jaya. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]