ad

Budi bicara pemerintah nilai maslahat ummah tangani isu ghanimah

31 Jul 2025, 12:06 PM
Budi bicara pemerintah nilai maslahat ummah tangani isu ghanimah

Apabila wilayah Islam mula berkembang menerusi penaklukan bersenjata, timbul persoalan besar - adakah tanah-tanah yang dirampas itu dianggap sebagai ghanimah (harta rampasan perang) dan wajib dibahagikan mengikut formula satu perlima untuk Allah dan Rasul serta empat perlima kepada para pejuang?

Merujuk Surah al-Anfal ayat 41, sebahagian sahabat berpandangan tanah tersebut perlu dibahagikan. Namun, Saidina Umar mengambil pendekatan berbeza apabila wilayah Iraq dan Syam dibuka secara kekerasan.

Beliau memutuskan untuk tidak membahagikan tanah-tanah tersebut kepada tentera Islam, sebaliknya mengekalkannya di tangan penduduk asal yang dikenakan bayaran cukai tanah (kharaj).

Hasilnya diagihkan untuk manfaat umat Islam termasuk tentera, hakim, pentadbir, fakir miskin dan anak yatim.

Pandangan para sahabat

Keputusan Umar disokong oleh sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Uthman bin Affan, Mu‘az bin Jabal dan Talhah bin Ubaidillah. Mereka melihat keputusan ini bersifat strategik dan berpandangan jauh.

Umar menekankan keperluan menjaga maslahat jangka panjang agar generasi akan datang juga mendapat manfaat daripada hasil tanah tersebut.

Namun, sahabat seperti Bilal bin Rabah, Abd al-Rahman bin Awf dan Ammar bin Yasir tidak bersetuju. Mereka berpegang pada maksud zahir ayat al-Anfal, yang menyebut tentang pembahagian empat perlima kepada tentera.

Bilal mendesak agar tanah dibahagikan, tetapi Umar menolak dengan alasan tanah tersebut lebih baik dijadikan wakaf kekal untuk umat Islam.

Dalil dan ijtihad Umar

Bagi menyokong keputusannya, Umar merujuk ayat-ayat dalam Surah al-Hasyr (ayat 6–10) yang membicarakan tentang fay’ iaitu harta yang diperoleh tanpa peperangan langsung atau dengan pengunduran musuh.

Ayat-ayat ini menunjukkan bahawa harta fay’ perlu dimanfaatkan oleh pelbagai golongan yakni Muhajirin, Ansar, dan generasi seterusnya.

Umar berpegang bahawa pembahagian kepada tentera semata-mata akan mengabaikan hak umat Islam pada masa akan datang.

Maka, beliau menjadikan tanah yang dibuka secara kekerasan sebagai harta fay’, bukan ghanimah dan hasilnya dijadikan perbendaharaan negara yang berterusan.

Beliau pernah menyatakan: “Kalaulah bukan kerana memikirkan keperluan orang di masa akan datang, nescaya aku akan membahagikan tanah itu seperti Rasulullah membahagikan Khaibar.”

Hukum fleksibel

Sebahagian fuqaha seperti Imam Malik dan Ibn al-Qayyim menyokong ijtihad Umar. Mereka berpandangan bahawa pemerintah berhak membuat keputusan mengikut situasi dan maslahat semasa.

Jika diperlukan, tanah boleh dibahagikan seperti di zaman Rasulullah dan jika maslahat awam menuntut, tanah boleh dijadikan milik umum sebagai harta fay’.

Abu Yusuf dalam Kitab al-Kharaj menyebut bahawa tindakan Umar adalah pilihan terbaik berdasarkan dalil al-Quran dan maslahat umat Islam.

Tanpa tindakan seperti itu, kewangan negara tidak akan mampu menampung gaji tentera, hakim, pentadbir dan kebajikan awam. Ia juga akan melemahkan pertahanan negara dan membuka ruang kepada musuh mengancam semula wilayah Islam.

Pembahagian

Para ulama membezakan antara tiga jenis pembukaan wilayah:

1. Penduduknya memeluk Islam secara sukarela — tanah kekal milik mereka dan dikenakan zakat

2. Dibuka melalui perjanjian damai — tanah kekal milik mereka dengan kadar kharaj tertentu

3. Dibuka secara kekerasan — di sinilah berlaku khilaf, antara menjadikannya ghanimah atau fay’

Pendekatan Umar terhadap tanah al-Sawad di Iraq dijadikan model oleh ramai ulama. Abu ‘Ubayd menyebut bahawa kedua-dua pendekatan, membahagikan atau mengekalkan sah dari sudut syarak dan mempunyai contoh daripada zaman Rasulullah dan Khulafa al-Rasyidin.

Kesepakatan

Abu Ubayd turut meriwayatkan bahawa Saidina Umar mencapai persetujuan dengan para tentera sebelum membuat keputusan. Ini menunjukkan bahawa tindakan beliau tidak menafikan hak tentera tetapi melibatkan kerelaan mereka demi kepentingan umum.

Kata Umar dalam majlis musyawarah: “Aku telah temui dalil yang jelas dalam Kitab Allah...” Beliau membaca ayat-ayat dari Surah al-Hasyr dan menegaskan bahawa harta fay’ adalah untuk semua termasuk mereka yang datang selepas generasi pertama.

Kesimpulan

Khilaf berkenaan hukum pembahagian tanah rampasan perang menggambarkan dinamik ijtihad dalam kalangan para sahabat.

Rasulullah SAW menggunakan pendekatan membahagi tanah (seperti di Khaibar), manakala Umar melihat keperluan zaman yang berbeza dan memilih pendekatan wakaf umum.

Kedua-duanya sah dan berdasarkan nas yang jelas tetapi pelaksanaannya bergantung kepada budi bicara pemerintah dalam menilai maslahat.

Maka, hukum pembahagian tanah anwah (yang dibuka secara kekerasan) bukanlah mutlak, tetapi fleksibel mengikut keperluan zaman, keadaan rakyat dan kesejahteraan umat Islam secara keseluruhan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.