KUALA LUMPUR, 31 JULAI: Seorang bekas pengarah urusan syarikat minyak dan gas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi melantik suaminya dalam syarikat tersebut tanpa persetujuan.
Farah Sabryna Nasarudin, 46, didakwa tanpa persetujuan atau ratifikasi mesyuarat agung telah menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah Urusan Asiapac Oil & Gas Sdn Bhd bagi melantik suaminya, Daniel Frederick Wall sebagai Penasihat Teknikal dan secara tidak langsung mengarahkan wang sebanyak RM786,209.30 dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh bagi manfaat tertuduh dan suaminya.
Wanita itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di syarikatnya di Jalan Sentral, Brickfields antara 27 Jan 2021 dan 28 Julai 2023 mengikut Seksyen 218(1)(d) Akta Syarikat 2016 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 218(2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Shakila Mohd Shariff mencadangkan jaminan RM30,000 berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam A.Narainasami yang mewakili tertuduh memohon supaya jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya menanggung lima anak yang masih bersekolah dan seorang ibu yang uzur.
Hakim Hamidah Mohamed Deril membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 3 Sept ini untuk sebutan kes. - BERNAMA