ad
AGENDA

Ibu tunggal, warga emas dalami kemahiran demi ubah kehidupan

20 Jul 2025, 4:38 AM
Ibu tunggal, warga emas dalami kemahiran demi ubah kehidupan
Ibu tunggal, warga emas dalami kemahiran demi ubah kehidupan
Ibu tunggal, warga emas dalami kemahiran demi ubah kehidupan

Oleh Dewi Abdul Rahman

GOMBAK, 20 JULAI: Keinginan untuk keluar daripada zon selesa dan memperbaiki taraf hidup keluarga mendorong ibu tunggal serta warga emas menyertai kursus kemahiran ditawarkan politeknik dan kolej komuniti.

Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti berkata penyertaan golongan itu bukan sekadar untuk memenuhi minat, tetapi menjadi langkah proaktif membina semula ekonomi keluarga melalui kemahiran praktikal.

“Wanita membentuk majoriti penyertaan iaitu sekitar 60 hingga 70 peratus setiap tahun dalam program-program kemahiran yang ditawarkan seperti jahitan, dandanan, masakan dan bakeri.

"Golongan ini yang dulu belajar sebab hobi, kini belajar sebab nak jana pendapatan dan bantu keluarga," kata Ts Abdul Razak Sabtu ketika Program Kursus Pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) POLYCC untuk media di Kolej Komuniti Selayang, Batu Caves semalam.

Dalam program berkenaan, lebih 20 pengamal media menyertai lima kursus PSH yang ditawarkan, termasuk kursus asas 'barista', masakan 'canape', 'potato salad' dan 'fruit tartlet' serta kursus penyediaan 'mocktail'.

[caption id="attachment_711322" align="alignnone" width="934"] Pengarah Kanan Kompetensi Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Ts Abdul Razak Sabtu memerhati petugas media, Dewi Abdul Rahman (tengah) membancuh kopi menggunakan mesin barista sempena program Media @ Kursus Pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) POLYCC di Kolej Komuniti Selayang, Batu Caves, Gombak pada 19 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Menurut Abdul Razak, pihaknya turut menerima perseta terdiri daripada pengurus hotel dan guru besar selain warga emas berumur 76 tahun di Sabah.

"Kalau kita lihat di semua kolej komuniti, walaupun bidang itu tiada, mereka akan pastikan ada bengkel masak, mesin jahit dan lain-lain keperluan yang komuniti perlukan,” katanya.

Tambah beliau, ramai peserta khususnya ibu tunggal kini telah menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan menjadi usahawan selepas tamat kursus di institusi tersebut.

“Contohnya baru-baru ini saya ke Kolej Komuniti Kok Lanas, Kelantan dan berjumpa kumpulan ibu tunggal. Mereka ini sudah ada perniagaan kecil dan mahu tambah resipi, pelajari teknik baharu dan mantapkan lagi perniagaan mereka," katanya.

Menurut beliau, program kemahiran intu juga merupakan salah satu bentuk sokongan kerajaan dalam memperluaskan peluang keusahawanan serta membantu komuniti menjana pendapatan.

“Kita guna pendekatan ‘berikan joran, bukan ikan’, yang mana latihan disediakan untuk memberi ilmu dan kemahiran jangka panjang kepada peserta," jelasnya.

[caption id="attachment_711323" align="alignnone" width="988"] Peserta menunjukkan seni latte yang dihasilkan melalui kursus asas barista sempena program Media @ Kursus Pendek Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) POLYCC di Kolej Komuniti Selayang, Batu Caves, Gombak pada 19 Julai 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Mengulas lanjut, Abdul Razak memaklumkan pihaknya turut mengumpul data peserta yang berjaya menjadi usahawan selepas menyertai kursus, bagi menilai keberkesanan program.

“Untuk kita buktikan program-program yang kita laksanakan sebenarnya dapat memberi manfaat kepada komuniti dari segi menambah pendapatan keluarga. Jadi kita berharap komuniti dapat memanfaatkan kemudahan yang ada.

"Kita ada data yang menunjukkan ramai peserta yang dilatih kini berjaya menjadi usahawan, oleh itu program ditawarkan memang beri impak besar kepada komuniti tanpa mengira umur dan latar belakang," ujarnya lagi.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.