ad
BERITA UTAMA

Selangor jalin kerjasama dengan Unicef, KRI perkukuh Dasar Ekonomi Penjagaan

20 Jul 2025, 3:00 AM
Selangor jalin kerjasama dengan Unicef, KRI perkukuh Dasar Ekonomi Penjagaan
Selangor jalin kerjasama dengan Unicef, KRI perkukuh Dasar Ekonomi Penjagaan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Selangor terus memperkukuh pelaksanaan Dasar Ekonomi Penjagaan menerusi jalinan kerjasama strategik dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) Malaysia dan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI).

EXCO kebajikan masyarakat berkata kerjasama dengan Unicef Malaysia akan memberi tumpuan kepada perlindungan sosial dan pembangunan awal kanak-kanak, selari dengan keperluan memperkukuh sistem sokongan terutama dalam fasa perkembangan 1,000 hari pertama mereka.

Jelas Anfaal Saari, bidang kerjasama ini mungkin melibatkan kajian perkembangan 1,000 hari pertama mereka yang sangat penting bagi menjamin tumbesaran sihat.

“Mungkin kajian mewujudkan satu geran ataupun subsidi daripada kerajaan secara berterusan, kepada kanak-kanak secara universal,tanpa mengira latar belakang pendapatan ibu bapa.

“Unicef Malaysia ada projek bersama Kerajaan Negeri Sarawak (berkaitan kanak-kanak). Jadi kita mungkin akan guna pakai model yang sama.

[caption id="attachment_711259" align="aligncenter" width="668"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama pasukan Wanita Berdaya Selangor (WBS) mengadakan kunjungan hormat ke Khazanah Research Institute (KRI) bagi membincangkan pelaksanaan serta kerjasama strategik dalam Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor. Foto Facebook Anfaal Saari[/caption]

“Kita juga, mungkin akan jalankan kerjasama menggunakan portal Sejagat yang dibangunkan oleh badan pengkaji di bawah Dasar Ekonomi Penjagaan, supaya kita boleh petakan institusi sedia ada, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar, yang menjaga kanak-kanak,” katanya kepada Media Selangor.

Mengulas lanjut, katanya kerjasama dengan KRI akan menyentuh kajian pengukuran masa dan nilai kerja, khususnya kerja penjagaan di rumah yang kebanyakannya dilakukan oleh wanita.

“Contohnya wanita yang bekerja di rumah, maksudnya menjaga (orang sakit dan sebagainya), ini biasanya dia tidak berpendapatan, tidak dibayar atau dibayar dengan kadar yang rendah daripada nilai kerja itu sendiri.

“Jadi nilai kerja-kerja rumah itu, masa dia diukur, kalau dibayar berapa akan nilai? Semasa 2019 ada kajian oleh KRI tetapi saiz sampel kajian hanya kira-kira 100 di seluruh Malaysia, tidak mewakili pandangan keseluruhan.

“Jadi kalau KRI boleh buat survey yang seumpama itu khususnya di Selangor, kita akan ada satu dapatan yang boleh menjadi garis asas mengenai keperluan ekonomi penjagaan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya Selangor terus giat meneroka kerjasama dengan pelbagai agensi dalam dan luar negara termasuk Jepun dan Korea bagi 39 pelan strategik dalam Dasar Ekonomi Penjagaan termasuk menarik pelaburan berkaitan.

“Kita mahu teroka peluang untuk bawa teknologi syarikat-syarikat dari luar negara, datang melabur di negara ini supaya kita boleh luaskan lagi perkembangan teknologi sektor untuk penjagaan,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar berkata Selangor menjadi negeri pertama melancarkan Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Dasar yang berlangsung sehingga 2030 itu akan mengambil kira aspek penjagaan warga emas, penjagaan kanak-kanak, orang kurang upaya serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga yang formal dan tidak formal.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.