ad
AGENDA

KKM pantau kes buli lisan, aib individu di fasiliti kesihatan

20 Jul 2025, 2:50 AM
KKM pantau kes buli lisan, aib individu di fasiliti kesihatan

SHAH ALAM, 20 JULAI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan memantau kes buli lisan melibatkan elemen kata-kata menghina, mengancam, mengejek dan mengaibkan individu di fasiliti kesihatan.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pantauan itu disenarai dalam Garis Panduan Pengurusan Buli di klinik dan hospital kerajaan yang akan dilancarkan Oktober ini, lapor Berita Harian.

"Dalam garis panduan itu, ada dinyatakan mengenai penggunaan bahasa atau kata-kata yang menyakitkan hati, menghina, mengancam, mengejek dan mengaibkan individu sebagai sebahagian daripada elemen buli lisan di tempat kerja.

"Meskipun garis panduan ini tidak menyenaraikan perkataan secara khusus, sebarang penggunaan bahasa yang menyinggung, terutama jika berlaku secara berulang boleh dianggap sebagai buli tertakluk kepada siasatan dan konteks kejadian," katanya.

Pada 12 Julai lalu, Dr Dzulkefly memaklumkan garis panduan itu sudah siap sepenuhnya dan akan dilancarkan secara rasmi sempena Bulan Kesihatan Mental Sedunia Oktober ini.

Langkah berkenaan bagi mewujudkan persekitaran kerja yang selamat dan harmoni, bebas ancaman gejala negatif buli serta memperkukuh ekosistem sokongan sedia ada, termasuk sistem MyHelp serta mencerminkan komitmen KKM terhadap kesejahteraan psikososial warga kerja.

Melalui proses sedia ada, Portal MyHelp (Pelaporan Buli Bagi Warga KKM) yang diwujudkan pada 1 Oktober 2022 membolehkan pengaduan bagi kes buli dibuat secara talian yang menetapkan tempoh sehingga 15 hari bekerja untuk KKM membuat siasatan, bergantung kategori kes aduan biasa atau kompleks.

Februari lalu, Dr Dzulkefly pada sidang Dewan Rakyat berkata doktor pelatih (HO) selalu menjadi sasaran utama kes buli di fasiliti kesihatan, yang perlu ditangani dengan mewujudkan suasana persekitaran kerja yang kondusif.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.