SHAH ALAM, 20 JULAI: Skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bukan sahaja mempengaruhi polisi perundangan negara, malah turut mengubah landskap industri media ke arah bersifat lebih demokrasi dan progresif.
Namun, semua itu tidak diperoleh dengan mudah. Pengamal media - di bawah pentadbiran kerajaan sebelum ini - dikawal rapi dengan sebahagiannya turut dijadikan alat politik.
Gerakan Media Merdeka (GERAMM) atau dikenali sebagai Gerakan Media Marah (GERAMM) sebelum ini, ditubuhkan oleh sekumpulan wartawan untuk menentang dasar 'tutup mulut' yang dikenakan kerajaan, khususnya berkenaan isu 1MDB.
Pengarahnya Radzi Razak mendedahkan pengamal media ketika itu sukar untuk memperoleh kerjasama daripada pemimpin serta agensi kerajaan, terutamanya ketika mahu melengkapkan laporan berita berkaitan kes 1MDB.
“Kita mula bersuara (tubuhkan GERAMM) kerana pada masa itu kita dapat banyak aduan daripada wartawan-wartawan daripada media arus perdana, media alternatif dan agensi antarabangsa, yang mendedahkan ada kekangan untuk tulis berita,” katanya kepada Media Selangor.
Kemuncaknya, Radzi berkata, GERAMM mengadakan beberapa siri perhimpunan aman dan protes bagi menuntut kebebasan media selain bersolidariti dengan agensi media yang digantung permit akibat melaporkan kes 1MDB.
Seiring waktu berjalan - termasuk perubahan kepimpinan negara - menurut Radzi, industri media kini menjadi lebih terbuka khususnya dengan penubuhan Majlis Media Malaysia (MMC) yang diumumkan pada Jun lalu.
“Kalau kita mahu bezakan daripada 2015, memang nampak banyak perbezaan. Ia nampak semakin positif tetapi tidak semestinya kita perlu berhenti bekerja untuk perubahan yang lebih baik,” katanya.
Radzi yang berkhidmat sebagai wartawan hampir 20 tahun di pelbagai agensi berita merupakan salah seorang daripada 12 pengamal media yang dilantik sebagai Lembaga Pengasas Majlis dalam MMC.
Menurutnya, penubuhan badan kawal selia bebas bagi menjaga intergriti kewartawanan serta kebajikan pengamal media itu telah dicadangkan sejak 1970-an, namun hanya berjaya direalisasikan pada 14 Jun lalu menerusi Akta MMC 2024.
“Selama ini kita tiada badan bebas yang menjaga kebajikan, intergriti dan menjaga industri itu sendiri. Kalau pekerjaan lain seperti doktor, peguam, mereka ada badan mereka sendiri, Majlis Peguam Malaysia dan sebagainya.
“Tetapi, media tiada (badan bebas). Media hanya ikut arahan syarikat dan orang atasan. Apa yang bahayanya adalah ia boleh dimanipulasikan dan kita lihat bagaimana ada beberapa kes yang disenyapkan begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, pensyarah kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi di Universiti Teknologi Mara (UiTM),
[caption id="attachment_451767" align="alignleft" width="428"] Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi UiTM Shah Alam Dr Noor Nirwandy Mat Noordin ketika program bual bicara Peluang Kerja, Gilap Potensi Anak Muda di Studio Media Selangor, Shah Alam pada 30 November 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI[/caption]
berkata industri media mengalami perubahan ketara yang lebih baik dalam kebelakangan ini.
Beliau berkata laporan terkini Indeks Kebebasan Media Dunia pada 3 Mei lalu menunjukkan Malaysia kini menduduki tangga ke-88, meningkat 19 anak tangga berbanding kedudukan ke-107 pada tahun lalu.
“Kalau kita lihat ranking kita di Reporters Without Borders (RSF) kini meningkat, lebih kurang 19 anak tangga pada kedudukan ke-88 pada tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
“Kita banyak juga perkara yang sudah berubah, contoh kita telah tambah baik Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan meluluskan perlesenan media sosial. Ini merupakan langkah ke hadapan oleh kerajaan bagi memastikan elemen media itu dipelihara,” katanya.
Dr Noor Nirwandy berharap penubuhan MMC dapat membela nasib industri media pada masa hadapan, khususnya dengan penggunaan penuh digitalisasi, elemen kecerdasan buatan (AI) dan kewartawanan masyarakat (citizan journalism).
Jelasnya, apa yang paling mustahak adalah mengusulkan akta baharu dibawah MMC bagi mendesak penyedia platform media sosial membayar kepada agensi media untuk membantu aliran kewangan syarikat, seperti yang turut diamalkan di negara-negara maju.
“Kalau tidak, kita akan melihat pada masa hadapan berkemungkinan media akan dikuasai agensi asing yang mempunyai sumber kewangan yang lebih baik, membawa corak pemberitaan yang akan bercanggah dengan kewartawanan dalam elemen falsafah pembangunan dan identiti negara.
“Ini yang dikhuatirkan walaupun ia dilihat sukar berlaku namun harus diingat kitaran ekonomi, kebergantungan media kepada ekonomi itu adalah perkara yang perlu kita lihat sebagai kenyataan.