ad
AGENDA

10 tahun 1MDB: Perubahan polisi dan pentadbiran negara

20 Jul 2025, 12:00 AM
10 tahun 1MDB: Perubahan polisi dan pentadbiran negara

SHAH ALAM, 20 JULAI: Tanggal 20 Julai 2015, negara dikejutkan dengan laporan hangat mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dilaporkan akhbar tempatan berbahasa Inggeris, The Edge.

Biar pun desas-desus skandal tersebut sudah mula dihidu pada tahun-tahun sebelumnya, namun akhbar mingguan itu mempelopori laporan 'rompakan' berbilion ringgit, yang disiarkan setebal empat muka surat.

Kini, selepas 10 tahun - dengan skandal itu masih dibicarakan di mahkamah - mahu atau tidak ia dilihat memberi kesan terhadap polisi pentadbiran negara, hala tuju industri media serta hal berkaitan ekonomi.

Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Datuk Seri Mustafar Ali menyifatkan kes 1MDB bagai 'rahmat yang terselindung' dan memberi pengajaran besar kepada negara.

Beliau yang terlibat menyiasat kes berkenaan pada 2015 menyedari, rakyat mula cakna terhadap undang-undang berkaitan jenayah kewangan seperti pengubahan wang haram, susulan pembongkaran skandal tersebut.

“Tetapi apabila kejadian itu atau pun peristiwa itu berlaku (kes 1MDB), ada satu apa kita panggil, blessing in disguise (rahmat yang terselindung). Walaupun benda itu kita kata tidak sepatutnya berlaku.

“Ia menyebabkan ada satu elemen pendidikan kepada masyarakat. Bila sebut apa itu, maka kitalah yang bertanggungjawab untuk mendedahkan (menerangkan kepada masyarakat),” katanya ketika ditemui Media Selangor.

Bertitik tolak daripada pendedahan kes 1MDB, kerajaan menubuhkan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) pada 2019, yang diterajui Mustafar sebagai ketua pengarah pertama agensi berkenaan.

NFCC yang terletak di Putrajaya, menurut Mustafar, ditubuhkan untuk membantu mencari semula aset-aset yang dibeli menggunakan dana 1MDB di luar negara - sesuatu yang disifatkannya sebagai amat mencabar.

“Bukan mudah. Kita menyelusuri semula aset-aset yang ada di luar negara dan menggunakan aspek perundangan untuk mendapatkan kembali (aset). Kita lakukan dengan kerjasama SPRM, polis, Bank Negara Malaysia dan Jabatan Peguam Negara.

“Ada aset di Amerika Syarikat, Perancis, United Kingdom, semuanya kita cari balik. Selepas aset dicairkan di negara itu, wang tersebut dikembalikan. Ini termasuklah penyelesaian bersama dengan Goldman Sachs,” katanya.

Melalui NFCC juga, bekas Ketua Pengarah Imigresen itu turut terlibat dalam menggubal Akta Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional atau Akta 822, yang diluluskan pada 2020 untuk memerangi jenayah kewangan di Malaysia.

Mac lalu, SPRM memaklumkan sejumlah RM14.6 juta berjaya dikembalikan kepada kerajaan, menjadikan jumlah pemulihan aset 1MDB setakat ini adalah RM29.7 bilion iaitu 70 peratus daripada RM42 bilion yang dipercayai diselewengkan.

Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Dr Fairuzzaman Shaharuddin memuji dasar kerajaan yang semakin positif dalam tempoh 10 tahun ini.

Menurut Dr Fairuzzaman kerajaan dilihat menekankan amalan tatakelola baik dan prinsip integriti, termasuk melaksana pelbagai usaha untuk menangani isu politik wang yang berleluasa dalam pentadbiran sebelum ini.

“Saya lihat ada perkembangan positif daripada dasar pentadbiran negara kita. Ada banyak sangat perkara positif khususnya SPRM yang sangat aktif dalam tangani isu rasuah tidak kira parti politik.

“(Sebagai contoh) rang undang-undang berkaitan dana politik, saya lihat dari segi dasar pentadbiran saya lihat ia sangat baik dan ada usaha untuk tangani isu itu daripada berlaku lagi,” katanya.

Ditanya adakah skandal kewangan boleh terjadi lagi di negara ini, Dr Fairuzzaman berkata tiada sebarang jaminan sekiranya pemimpin dan masyarakat gagal menyuarakan salah laku dan tidak menanam nilai integriti dalam diri masing-masing.

Beliau turut mencadangkan kerajaan meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) dengan lebih bersepadu bagi memastikan pemberi maklumat atau 'whistleblower' mendapat perlindungan sewajarnya.

“Ada kemungkinan terjadi lagi jika kita sebagai pemimpin dan rakyat tiada integriti dalam diri, tidak ada sifat suarakan salah laku, tidak menegur tatakelola yang tidak baik. Jika kita tidak ambil cakna, maka itu ada kemungkinan terjadi lagi,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.