ad
AGENDA

Sistem pagar automatik di pintu masuk negara kembali beroperasi secara berperingkat

19 Jul 2025, 3:23 PM
Sistem pagar automatik di pintu masuk negara kembali beroperasi secara berperingkat

PUTRAJAYA, 19 JULAI: Sistem pagar automatik (autogate) bagi pelawat asing, yang mengalami gangguan sejak semalam, mula beroperasi secara berperingkat pada 6 petang tadi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dalam kenyataan malam ini memaklumkan sistem itu bagaimanapun masih belum pulih sepenuhnya.

"Kerja-kerja pembaikan dan penstabilan sistem masih lagi diteruskan bagi memastikan ia dapat kembali beroperasi pada kapasiti optimum," menurut kenyataan itu.

Menurut AKPS keadaan di semua pintu masuk utama negara yang terjejas dengan kegagalan sistem tersebut adalah terkawal dan langkah mitigasi diteruskan bagi memastikan aliran pergerakan pelawat asing kekal lancar.

"AKPS akan terus memastikan sistem kembali pulih bagi memastikan pengoperasian harian pelawat asing keluar masuk ke pintu utama negara dalam keadaan terkawal dan selamat," menurut agensi itu.

Petang tadi, AKPS mengesahkan gangguan sistem sejak semalam berpunca daripada gangguan integrasi data yang menyebabkan proses semakan silang dalam sistem MyIMMS menjadi perlahan.

Kesesakan dan barisan menunggu yang panjang dilaporkan di beberapa lokasi utama termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Johor.

Susulan itu, AKPS memaklumkan langkah mitigasi telah diambil bagi melancarkan aliran pelawat termasuk pengaktifan semua kaunter manual dan penugasan anggota tambahan di pintu masuk terjejas.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.