SHAH ALAM, 19 JULAI: Peranan Universiti Islam Selangor (UIS) akan diperkukuh sebagai institusi keusahawanan dengan tumpuan kepada Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan industri halal serta pendidikan tahfiz.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata UIS yang juga milik penuh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) turut menyasarkan menjadi universiti wakaf pertama di Malaysia.
Jelas beliau, pemasyhuran UIS merupakan pengiktirafan serta cerminan penghormatan terhadap usaha institusi pengajian tinggi Islam itu dalam melahirkan generasi anak Selangor yang arif dan berwibawa.
"Merafak sembah dan menjunjung kasih di atas keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin atas limpah perkenan berangkat mencemar duli ke Istiadat Pemasyhuran dan Konvokesyen Kali Ke-27 UIS serta atas pemasyhuran sebagai Canselor UIS.
"Patik turut menzahirkan sembah tahniah atas pemasyhuran DYMM Tengku Permaisuri Selangor sebagai Canselor UIS yang pertama. Ini merupakan penghargaan dan pengiktirafan terhadap kewibawaan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dalam memperkasakan masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pemerkasaan wanita," kongsi Amirudin di Facebook.
Beliau juga merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh warga UIS serta para graduan yang diraikan dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Idris Shah UIS hari ini.
"Sejak konvokesyen sulung pada tahun 1998, UIS telah melahirkan seramai 31,389 graduan dari pelbagai peringkat pengajian yang kini menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara," katanya.
Dato' Menteri Besar turut mendoakan semoga UIS terus unggul sebagai institusi pengajian tinggi Islam yang berwibawa dan berdaya saing di peringkat nasional serta antarabangsa.