ad
AGENDA

Aktiviti luar bilik darjah dihentikan jika IPU lebih 100

19 Jul 2025, 2:03 PM
Aktiviti luar bilik darjah dihentikan jika IPU lebih 100

SHAH ALAM, 19 JULAI: Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) susulan jerebu melanda negara.

Ketua Pengarahnya Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata pihaknya turut meningkatkan tindakan penguatkuasaan dan aktiviti rondaan harian ke kawasan yang berpotensi berlaku aktiviti pembakaran terbuka selain memantau bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU).

"Semua pemilik tanah dinasihatkan memantau rapi kawasan mudah dan sering terbakar seperti tapak pelupusan sampah, hutan, tanah gambut, ladang, kawasan pertanian dan industri.

"Pemilik tanah juga dinasihat mencegah pencerobohan pihak tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan pembakaran terbuka sama ada untuk tujuan tertentu atau dengan tidak sengaja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara tindakan yang perlu dilaksanakan oleh agensi berkaitan jika bacaan IPU semakin meningkat ialah:

  • Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat daerah, negeri, pusat apabila bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam
  • Semua aktiviti di luar bilik darjah dihentikan apabila bacaan IPU melebihi 100.
  • Sekolah, tadika dan taska ditutup serta-merta apabila bacaan IPU melebihi 200. Bagi tujuan ini, pihak sekolah, tadika dan taska dikehendaki sentiasa memantau bacaan IPU. Sekiranya trend bacaan menunjukkan peningkatan ke arah 200 persediaan perlu dilaksanakan untuk menutup sekolah, tadika dan taska yang berkenaan.
  • Operasi pembenihan awan (OPA) akan dilakukan tertakluk kepada kehadiran awan dan cuaca yang sesuai pada bacaan IPU melebihi 150 bagi tempoh lebih daripada 24 jam.

Menurut kenyataan itu, kemerosotan kualiti udara disebabkan terdapat pergerakan asap jerebu memasuki rantau negara ini dengan tiada kebakaran besar dalam negara yang dikesan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.