ad
AGENDA

Anwar tegas tidak letak jawatan, saran pembangkang usul di Parlimen jika cukup jumlah

19 Jul 2025, 12:20 PM
Anwar tegas tidak letak jawatan, saran pembangkang usul di Parlimen jika cukup jumlah

BAYAN LEPAS, 19 JULAI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan sesekali meletakkan jawatan seperti didesak oleh segelintir pihak, selagi tidak terbabit dengan penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menegaskan beliau berpegang teguh kepada pendirian tersebut dan akan terus fokus menjalankan amanah untuk membangunkan rakyat serta negara.

“Insya-Allah saya tidak turun, kalau saya curi duit orang suruh turun, tak apalah. Tapi saya tidak curi duit orang.

“Saya jadi Perdana Menteri hampir tiga tahun, mana ada kontrak (projek) kita bagi secara rundingan terus, semuanya melalui proses tender,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Kompleks MADANI Teluk Kumbar, dekat sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming; Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Datuk A. Rajendran.

Anwar berkata sekiranya pembangkang mempunyai cukup sokongan, mereka boleh membawa usul di Parlimen mengikut saluran demokrasi sedia ada.

“Gunakan Parlimen, kritiklah. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul, itu caranya.

“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen untuk sokong mereka. Kalau saya kalah, saya letak jawatan secara baik. Itu cara aman,” katanya.

Dalam rangka lawatan kerja sehari ke Pulau Mutiara, Anwar turut menegaskan Kerajaan MADANI pimpinannya sedang bekerja keras untuk membangunkan negara termasuk menangani masalah kos sara hidup.

Katanya pelbagai inisiatif sedang dilaksana termasuk peningkatan gaji minimum, bantuan kepada pesawah miskin, peluasan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), penambahan perumahan mampu milik untuk golongan B40 serta penambahbaikan skim gaji penjawat awam.

Beliau mengakui tidak mampu menyelesaikan semua permasalahan negara dalam tempoh singkat, namun kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin demi kesejahteraan rakyat.

Pada majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan tambahan RM5 juta bagi pembangunan Daerah Barat Daya tahun ini.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.